Pekerja hotel didakwa memandu melulu, sebabkan kematian bapa dan anak
KOTA KINABALU: Seorang pekerja hotel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian seorang penunggang dan pembonceng motosikal.
Majistret Afiq Agoes menetapkan pada 12 Mac untuk pengurusan kes terhadap Jaffray Katoh, 34, yang diwakili peguam Lindsay Micheal.
Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, menyebabkan kematian seorang ayah dan anaknya, Ahmad Alitop, 53, dan Shanur Amlera Ahmad, 23,
Kesalahan dilakukan pada 27 Mei 2016 jam 6.20 pagi di Jalan Politeknik, Sepanggar, dekat Salut Commercial Baru.
Terdahulu, Lindsay menyatakan anak guamnya perlu menanggung isteri dan anaknya, disamping memohon lesen memandu tidak diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun Afiq memerintahkan agar lesen memandutertuduhdiserahkan kepada mahkamah, sehingga kes berkenaan selesai.
Tertuduh diberikan ikat jamin sebanyak RM2,000 dicagarkan dua penjamin tempatan.
Di Kuala Lumpur, seorang lelaki didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengalihkan wang berjumlah RM9,798.38 milik seorang konsultan teknologi maklumat, tahun lepas.
Majistret Maizatul Munirah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Khairil Najmi Ahmad Puzi, 34, selepas tertuduh mengaku salah sebaik saja pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Dia didakwa dengan curangnya melakukan kesalahan itu ke atas wang milik Cheong Fook Ming, 38, di CIMB cawangan Sentul Raya di sini, antara 12.01 tengah malam hingga 11.59 malam pada 5 Julai 2017.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim.