Rasuah: Bekas penjawat awam kekal dipenjara
KOTA KINABALU: Seorang bekas penjawat awam mula menjalani hukuman penjaranya pada Isnin, selepas rayuannya diketapikan Mahkamah Rayuan, di sini, atas dua kesalahan rasuah.
Awangku Mohd Shaifful Ag Damit, 44, terpaksa menerima nasib itu, setelah rayuannya atas hukuman diketapikan tiga korum hakim Tan Sri Idrus Harun, Puan Sri Zaleha Yusof dan Dato’ Rhodzariah Bujang.
Penghakiman itu dilakukan setelah mendengar dan mendapati tiada merit, di dalam hujah rayuan balas daripada pihak pembelaan dan pendakwaan.
Pada 24 Oktober 2016, perayu yang diwakili peguam Ram Singh dikenakan penjara 36 bulan dan denda RM60,000 oleh Mahkamah Rasuah, setelah didapati bersalah.
Pada 21 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Rasuah, selepas mengetepikan rayuan atas sabitan dan hukuman.
Awangku Mohd Shaifful menerima wang sebanyak RM10,000 daripada seorang ahli perniagaan Kent Ng Thien Ming melalui Lee Huat Chee@ Peter Lee, sebagai dorongan melakukan perbuatan berhubung hal-ehwal prinsipalnya, iaitu tidak mengambil tindakan terhadap Kent kerana membenarkan para pekerjanya bekerja di City Kopitiam.
Kesalahan dilakukan pada 16 Oktober 2012 antara jam 12 tengah hari hingga jam 1 petang, di tempat sama.
Seterusnya pada hari sama, Awangku Mohd Shaifful setuju menerima sebuah akuarium berukuran tiga kaki bernilai RM371 daripada Kent, bagi tujuan sama.
Dua kesalahan itu, perayu didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.
Hukuman yang diperuntukkan, penjara selama tempoh 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau mengikut mana-mana nilai yang tinggi.
Bagi pertuduhan pertama, perayu dikenakan penjara 24 bulan dan denda RM50,000 atau penjara enam bulan, manakala kedua dikenakan penjara 12 bulan dan denda RM10,000 atau penjara tiga bulan.
Mahkamah Rasuah memerintahkan perayu menjalani kedua-dua hukuman berkenaan secara berasingan.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwaraya Ahmad Sazilee Abd Khairi.