Farmasi Sunlight beri kesedaran penjagaan buah pinggang kronik
KOTA KINABALU: Sempena Hari Ginjal Sedunia pada 8 Mac, Farmasi Sunlight akan menganjurkan satu siri program bagi meningkatkan kesedaran terhadap penyakit buah pinggang kronik (CKD) kepada masyarakat.
Ahli Farmasi Sunlight (KK) Sdn Bhd Wong Yuan Mei berkata program kesedaran CKD itu akan berlangsung dari 5 Mac hingga 15 April.
“Kesedaran terhadap CKD adalah langkah penting dalam pencegahan dan rawatan penyakit berkenaan.
“Pengurusan CKD adalah kompleks dan melibatkan pengawalan tekanan darah (BP), berat badan, kolesterol, tahap glukosa darah, pengambilan cecair, pengubahsuaian tabiat pemakanan, pematuhan pengambilan ubat dan aktiviti fizikal.
“Pemahaman dan kesedaran terhadap penyakit CKD dapat membantu pesakit mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk mencegah kemerosotan fungsi buah pinggang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media Farmasi Sunlight (KK) Sdn Bhd sempena Hari Buah Pinggang Sedunia 2018 di sini pada Isnin.
Katanya Farmasi Sunlight akan memimpin dan mendidik orang ramai bukan sahaja dalam pengurusan CKD, tetapi juga cara pencegahan untuk mengekalkan buah pinggang yang sihat.
“Dianggarkan bahawa kira-kira 10 peratus penduduk seluruh dunia menghidap penyakit CKD dan menyebabkan jutaan orang mati setiap tahun kerana tidak mendapat rawatan yang sewajarnya.
“Tekanan darah tinggi dan kencing manis adalah antara dua penyebab utama kegagalan buah pinggang yang mana Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan menyatakan bahawa lebih daripada 60 peratus pesakit dialisis baharu mempunyai tekanan darah tinggi dan kencing manis.
“Oleh itu, untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeriksaan tekanan darah dan glukosa darah secara teratur, Farmasi Sunlight turut melibatkan diri dalam mengambil beberapa langkah,” katanya.
Tambahnyasebanyak50unit alat glukometer disumbangkan kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Lions Club, Persatuan Buah Pinggang Sabah, Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia (Nasam) Sabah, Persatuan Perkhidmatan Ambulans Lions dan Persatuan Kebajikan Buddha Tzu-Chi Malaysia.
Selain itu, jelasnya setiap cawangan Farmasi Sunlight akan menawarkan pemeriksaan glukosa darah dan tekanan darah percuma untuk orang ramai pada tarikh yang dipilih, ditambah dengan kaunseling ahli farmasi secara individu mengenai pengubahsuaian gaya hidup yang betul dan cadangan diet yang sesuai.
“Orang ramai disaran untuk membawa ubat-ubatan dan suplemen biasa mereka ke farmasi untuk menyaring kemungkinan berkaitan dengan buah pinggang.
“Farmasi Sunlight akan menganjurkan pemeriksaan glukosa dan tekanan darah secara percuma di 14 cawangan seluruh negeri bermula 17 Mac sehingga 6 April.
“Untuk maklumat lanjut berkenaan program ini, orang ramai boleh menghubungi menghubungi cawangan Farmasi Sunlight terdekat,” jelasnya.
Dalam pada itu, jelasnya Farmasi Sunlight juga telah memilih pelbagai produk yang disyorkan untuk penjagaan buah pinggang yang sihat termasuk makanan tambahan, susu tepung, makanan, penjagaan kulit semula jadi dan alat pemantauan glukosa darah mahupun tekanan darah.
“Promosi khas akan ditawarkan dalam tempoh ini untuk menggalakkan orang ramai mengambil langkah pertama dalam menjaga buah pinggang mereka.
“Semua ahli farmasi dan pembantu mereka bersedia memberi kaunseling mengenai produk berkenaan.
“Pakar pemakanan juga boleh menyediakan khidmat kaunseling mengenai diet mesra buah pinggang bagi mereka yang memerlukannya,” katanya.