Hubungan erat pengundi Cina
MCA Batu Sapi berperanan bantu kekal kemenangan BN
SANDAKAN: MCA Batu Sapi memainkan peranan penting dalam membantu Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan bagi kawasan Batu Sapi pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU14).
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekong Datuk Samsudin Yahya berkata ia terbukti menerusi hubungan rapat MCA Batu Sapi yang diketuai oleh Ketua Bahagiannya, Datuk Chew Kok Woh dengan penduduk kaum Cina di kawasan Batu Sapi.
“MCA Batu Sapi menjadi satu medium untuk merapatkan hubungan antara pengundi kaum Cina dengan Umno di kawasan Batu Sapi sekaligus menanam keyakinan utuh terhadap kepimpinan BN.
“Segala permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat Cina, khususnya di kawasan Sibuga dan Taman Mawar dapat diketahui dengan segera kerana Datuk Chew dan pihaknya sentiasa turun padang di kawasan berkenaan.
“Usaha turun padang yang dilakukan oleh Datuk Chew ini memudahkan lagi usaha kerajaan dalam menyalurkan bantuan secara terus kepada masyarakat Cina di kawasan Batu Sapi,” katanya selepas merasmikan Bilik Gerakan Bahagian MCA Batu Sapi di Bandar Utama di sini, Isnin.
Samsudin juga yakin sokongan masyarakat Cina terhadap BN masih utuh kerana masyarakat berkenaan mengutamakan keamanan, pendidikan dan perniagaan.
Dan katanya, ia hanya boleh direalisasikan oleh kerajaan yang diterajui BN.
DATUK SAMSUDIN YAHYA
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekong
Sementara itu, Chew berkata MCA Batu Sapi telah membuat persiapan untuk menghadapi PRU14 sejak dua tahun yang lalu.
“Kita telah membuat persiapan untuk menghadapi pilihanraya akan datang melalui pelbagai usaha yang giat dijalankan. Antaranya, mengadakan program-program bersama penduduk sekaligus dapat mengenalpasti pengundi MCA. Selain, itu aktiviti turun padang turut giat dijalankan,” katanya.
Chew juga berkata, hubungan erat dan kerjasama diantara MCA Batu Sapi dan Umno Batu Sapi penting dan mampu menguatkan BN.
Oleh itu, pihaknya sentiasa memberi kerjasama kepada Umno dan juga parti komponen BN yang lain untuk mengekalkan kemenangan pada pilihanraya akan datang.
“MCA Batu Sapi menjadi satu medium untuk merapatkan hubungan antara pengundi kaum Cina dengan Umno di kawasan Batu Sapi sekaligus menanam keyakinan utuh terhadap kepimpinan BN. ”