Bung: Jurukamera Sabah berbakti
INI sejarah industri dunia filem tempatan yang tidak harus kita lupakan. Wajib diingati terutamanya oleh mereka yang terlibat dalam kerja perfileman iaitu penerbit, pengarah, penulis skrip, pelakon, jurukamera dan krew produksi.
Bayangkan ketika Shaw Brothers di Jalan Ampas ditutup, diikuti dengan Studio Cathay Keris Productions berhadapan dengan zaman kejatuhan, kemudian cuba dilanjutkan pula industri ini dengan membuka Merdeka Studio Film Productions di Hulu Klang (sekarang Finas) yang turut mengalami zaman kemalapan, tiba-tiba muncul seorang insan dari Negeri Di Bawah Bayu yang menyemarakkannya semula tabir malang ini.
Tiada sesiapa mengenalinya kecuali dia bernama Deddy M. Borhan (sekarang bergelar Datuk) yang menjadi sebutan di bibir peminat seni filem malah pak menteri ketika itu.
Di tangannya lahirlah Sabah Film Productions 1975. Dengan semangat kental untuk martabatkan semula maruah filem Melayu lahirlah filem pertamanya Keluarga Si Comat, Hapuslah Air Mata, Azura hingga ke angka 18 buah filem kesemuanya.
M. Borhan tidak berseorangan di Kuala Lumpur. Beliau turut membawa beberapa anak muda Sabah yang pada mulanya terdiri daripada kaum keluarganya sendiri. Omar Ismail, Mirdat, Montoi, Ritto, Jubar dan Meera adalah antaranya. Bertugaslah mereka sebagai pekerja krew kerana M. Borhan sendiri ada menggaji pekerja mahir yang telah sedia ada di Kuala Lumpur. Anak-anak muda ini bekerja sambil belajar apa sahaja tentang filem. Filem adalah dunia baru mereka.
Dengan kemajuan yang dicapai selepas dua filem, Sabah Film membawa masuk beberapa anak Sabah lagi bekerja di syarikat itu. Penulis masih ingat nama-nama seperti Ali Sulaiman, Awang Raffie, Rosnah, Abu, Peter Nilus, Kak Ottok, Kak Jan, Rashid dan Lijah (sekadar beberapa nama sahaja) menjadikan kantor Sabah Film riuh rendah dengan loghat Sabah saat mereka berseloroh.
Dengan pertambahan tenaga kerja, muncul beberapa filem baharu seperti Sumpah Semerah Padi, Pendekar, Kisah Seorang Biduan, Si Badul, Mat Salleh Pahlawan Sabah dan lain-lain. Sayangnya tidak sesiapa pun yang peduli kerja gigih di belakang tabir anak-anak Sabah ini. Padahal mereka antara yang menyemarakkan industri filem kita. Ianya berlanjutan sampai ke hari ini.
Persaingan bisnes yang sihat tetap berlaku dengan munculnya syarikat filem yang baharu seperti Indera Film, Gala Filem, Syed Kecik, Sari Artis Productions dan lain-lain menjadikan
production graft syarikat milik M. Borhan turun naik. Namun fenomena ini tidak berlanjutan.
Anak-anak krew produksinya tetap teguh berdiri di belakang bos mereka. Gigih mempertahankan seni dan maruah Sabah Filem. Antaranya ialah Omar Ismail (yang kita sebutkan sebagai Bung).
Bung berusia 18 tahun ketika dibawa oleh M. Borhan ke Kuala Lumpur. Dia bertugas sebagai krew pada mulanya. Dia menjadi tukang angkat lampu. Gulung kabel, belajar memasang
switch boar letrik, diberi tugas menjaga peralatan kamera dari lens, tripod hingga pelbagai jenis lampu seperti 4k, Red Head, Mini Brut, Blondie dan HMI. Ilmu mereka pun bertambah. Satu permulaan yang baik.
“Masa sudah sampai Bapak untuk anak-anak Sabah memasuki bidang filem”, Katanya kepada penulis yang memanggil saya dengan gelaran ‘Bapak’. Ini kata-katanya yang masih terngiangngiang di telinga penulis sehingga hari ini. Inilah kebaktian Bung Omar Ismail dimilikinya sebagai satu prinsip kerja.
“Saya tidak penting nama kerana saya sudah ada nama yang diberi oleh ayah dan ibu saya”. Katanya terbahak-bahak ketawa bersama saya. “Yang saya mahu ialah berbakti”. Bung merenung masa depan dan saya berfikir untuk menjadi sahabatnya berzaman.
Penulis tidak kerap bertemu Bung tetapi apabila bersua, kami bergebang lama. Penulis yang kerap menyewa studio dubbing di Sabah Film turut bertemu dengan ramai rakan-rakan artis serta krew. Wajah seperti Badul, Param, R. Jaafar, Dharma, Rahim Jailani, Kuswadinata, Malek Selamat adalah antara artis yang suka lepak-lepak dan ‘ngomong-ngomong’ di Sabah Filem. Tetapi mereka tidak ‘ngomong’ kosong kecuali mencari idea-idea baharu untuk memperbaiki kerjaya mereka dalam dunia filem.
Bung dan rakan-rakan krew Sabah turut berfikir mencari jalan baharu untuk memajukan diri dan kerjaya mereka.
Bung meminati kerjaya seorang jurukamera rupanya. “Pertama kali mendekatkan mata saya pada eyepiece camera view finder, saya rasa seperti Bakar Ali.” cerita Bung pertama kali dapat bekerja sebagai pembantu Bakar Ali seorang jurukamera filem terkenal. Bung belajar dengan rapi tentang lens dan penjagaan. Belajar untuk menjadi focus puller yang baik dan lain-lain gajet yang ada pada sebuah camera body.
Industri video belum wujud lagi ketika itu. Bung memahirkan diri dengan kamera filem jenis 16mm untuk penggambaran filem dokumentari manakala 35mm digunakan untuk filem-filem cereka. Sabah Filem turut membuat filem dokumentari jabatan kerajaan melalui proses tender.
“Kalau bikin dokumentari, saya guna kamera Eclair 16mm siap dengan zoom lens. Kalau untuk filem cereka guna 35mm Arriflex.” Kisahnya mengingatkan masa awal-awal dia memegang kamera. Penulis sebenarnya pernah menggunakan khidmat Bung sebagai jurukamera filem dokumentari (tak ingat judul) dan filem Cinta Kita lakonan Sofea Jane. Sayangnya Bung hanya bekerja suku pengambaran sahaja tetapi disiapkannya hingga selesai selepas pengarah fotografi Jamal Maarif tarik diri.
Di Sabah Filem, Bung berpeluang lagi bekerja dengan beberapa jurukamera terkenal seperti Omar Man, Amin Za, Raja Idris, Dollah Ali (sekadar menyebut beberapa nama). Nama Bung disebut oleh para penerbit, krew dan pelakon. “Mirdat Mohamad sepatutnya panggil saya abang kerana dia muda dari saya tetapi dia memanggil saya Bung. semua orang ikut panggil saya Bung”. Disingkapnya kisah silam detik namanya diberi gelaran. Penulis juga kenal Mirdat dan Bubut yang menjadi jurukamera penuh video drama tv. Mirdat telah meninggalkan bidang perfileman dan sekarang menjalankan perniagaan restoran ABC Akinabalu di kawasan Tanjung Aru.
Inilah ketikanya Bung teramat yakin dengan dirinya yang sudah boleh berdiri di atas kakinya sendiri sebagai seorang jurukamera/ pengarah fotografi. Sebelum dia meninggalkan Sabah Filem pada tahun 1992, dia sempat bekerja dengan pengarah A.R.
Badul, Aziz Sattar,
M. Amin, Omar Rojik dan Aziz Jaafar.
Beberapa tahun dia menjadi jurukamera bebas, berpeluang pula dia bekerja dengan UWei, Z. Lokman, Adman Salleh, Kamal Ishak dan Aziz M. Osman (sekadar beberapa nama).
Bung ditawarkan bekerja dengan Skop Productions. Disitu dia memikul tugas yang lebih berat menjadi ketua kepada para krew produksi. Semua bahagian teknikal dibawah pemantauannya.
Boleh dikatakan semua drama siri kepolisian terbitan Skop, Bung yang menjadi jurukameranya. Beberapa filem cereka arah- an Yusoff
Haslam (Datuk) dia juga yang menjadi sinematografinya. Di Skop Productions, beliau bekerja dengan pengarah Yusoff Kelana, Majid Salleh, Shamsul Yusoff dan Syafiq Yusoff.
Diam tak diam, Bung sudah bersama Skop Productions lebih 20 tahun. Begitulah cara Bung berkerja. Bukan memperhambakan diri tetapi menyumbang bakti.
Bung kini berusia 61 tahun. Beristeri gadis dari Berungis di daerah yang sama iaitu Tuaran. Bung mempunyai empat orang anak dan seorang cucu. Selama hayatnya sehingga saat ini, tidak ternah dia berfikir untuk membuat kerja lain kecuali kerja sebagai jurukamera yang bagus.
Nama Bung tidak perlu didendangkan asalkan industri tidak harus melupakannya kerana dia pernah berbakti. Bung bukan seorang akadim (meminjam perkataan bahasa Filipino bermakna memasuk film school) tetapi belajar dari alam sekelilingnya adalah sekolah filemnya. Ada orang yang tidak lokek memberi
ilmu tak didendang.
“Datuk Deddy M. Borhan tersangat baik´. Bung bermenung walaupun sekejap tetapi menyelongkar masa silamnya yang lama. Saya pernah bekerja mencuci rumah dan keretanya.
Cari duit belanja sekolah. Keluarga susah masa itu sebelum dia bawa saya ke Kuala Lumpur. Jadilah saya orang filem”.
Bung akhirnya melepaskan nafas kelegaannya. Nafasnya itu mahu dikongsikan dengan kita. Dengan anak-anak Sabah yang ingin bergiat dalam bidang ini.
Penulis kenal beberapa jurukamera hebat di Kota Kinabalu seperti Valentine Chong, Timothy Stephen dan Mark Marciano yang sudah tentunya berbangga dengan Bung Omar Ismail. Sabah tetap boleh bah! . * (Artikel sumbangan Kamal Ishak, Pengarah, Penulis, Tutor Filem)