Kempen Derma Darah Pengakap Labuan kumpul 86 pain darah
LABUAN: Sejumlah 86 pain darah berjaya dikumpul dalam Kempen Derma Darah anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia WP Labuan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan di Ruang Legar Ujana Kewangan pada Ahad.
Ahli pengakap daripada empat buah sekolah iaitu SMK Labuan, SM Sains Labuan, SM St Anne dan SMK Mutiara telah bertugas sepanjang kempen ini.
Selain daripada itu, pameran aktiviti kepengakapan juga diadakan di sepanjang kempen itu untuk tatapan umum.
Pengarah Kempen Derma Darah, Skip Chua Hup Bee berkata kempen ini merupakan aktiviti tahunan bagi Persekutuan Pengakap Malaysia WP Labuan dalam usaha menambah tabung darah di WP Labuan.
Katanya, ia juga merupakan sebahagian daripada khidmat masyarakat yang merupakan salah satu daripada elemen penting dalam skim latihan pengakap.
“Ini merupakan usaha murni ahli pengakap bersama syarikat Financial Park Labuan Sdn Bhd. Kepentingan menderma darah dapat menyelamatkan nyawa orang lain, maka sikap prihatin sebegini perlu diterap dalam diri generasi muda kerana mereka akan mewarisi negara,” katanya.
Turut hadir sama dalam kempen itu ialah Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Dato’ Sri Mohd Alias A. Rahman, Penaung BP Guild Labuan Datin Sri Dato’ Norsiah Abdullah dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr. Ismuni Bohari.
Mereka turut menyampaikan sijil penghargaan kepada penderma.
Kempen ini ditaja oleh Financial Park Labuan dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Skip Hong Heng Chee.
Sementara itu, Mohd Alias berkata usaha ini wajar dipuji dan dijadikan contoh bagi meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menderma darah kepada mereka yang memerlukan.
“Selain memenuhi tanggungjawab sosial, usaha ini dilihat mampu mendidik masyarakat tentang kepentingan menderma darah,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penderma darah termasuk ahli pengakap dan orang awam.