MUIP sediakan bantuan guaman untuk ibu tunggal dan isteri ditinggalkan
PEKAN: Bermula bulan ini, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menawarkan khidmat bantuan guaman tuntutan nafkah secara percuma bagi golongan ibu tunggal dan isteri yang ditinggalkan suami.
TimbalanYangDipertuanya Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata bantuan khas untuk golongan asnaf zakat (fakir miskin) itu diwujudkan setelah MUIP mengesan terdapat ramai yang memerlukan khidmat tersebut di negeri ini, namun tidak tahu cara mendapatkannya.
MUIP menerima 17,500 borang permohonan bantuan zakat pada tahun lalu dengan 10 peratus daripadanya merupakan asnaf yang mengalami masalah tidak menerima nafkah daripada suami dan bekas suami.
“Jalan mudah yang biasa diambil untuk keluar daripada masalah tersebut ialah memohon bantuan MUIP, tetapi yang lebih penting masalah sebenar (tidak diberikan nafkah oleh bekas suami atau suami) yang mereka hadapi perlu diselesaikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Khidmat Bantuan Guaman Tuntutan Nafkah Asnaf Zakat (fakir miskin) MUIP, di sini, Isnin.
Hadir sama, Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Rahman Md Yunus dan Setiausaha MUIP Datuk Ahmad Hairi Hussin.
Wan Abdul Wahid berkata melalui khidmat guaman itu mereka yang terlibat akan dapat menuntut kembali hak atau nafkah yang sepatutnya menjadi tanggungjawab suami atau bekas suami.
“Kita tidak akan lepaskan mereka begitu sahaja, bantuan wang atau barangan daripada MUIP hanyalah bantuan kecil, kita mahu menuntut rasa tanggungjawab pihak berkenaan,” katanya.
Wan Abdul Wahid berkata mereka yang berhasrat mendapatkan khidmat guaman itu boleh mendapatkan borang permohonan di MUIP.
“Kita harapkan dengan usaha ini dapat membantu mengembalikan hak isteri dan anak-anak seterusnya dapat mendidik masyarakat khususnya suami supaya lebih bertanggungjawab dan mengambil berat mengenai keperluan isteri serta anakanak,” katanya. - Bernama