Warga asing kekal dihukum gantung, bunuh majikan
Bunuh pengusaha restoran yang juga majikannya
KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan di sini, mengekalkan hukuman gantung terhadap seorang lelaki warga asing yang disabitkan dengan kesalahan membunuh seorang pengusaha restoran.
Hakim Tan Sri Idrus Harun, Puan Sri Zaleha Yusof dan Dato’ Rhodzariah Bujang sebulat suara membuat keputusan itu terhadap Jun Jajah, 37, yang diwakili peguam Majnah Abdillah.
Dalam penghakiman itu, korum hakim berpendapat bahawa tiada merit yang layak diberikan dalam rayuan perayu yang menentang keputusan Mahkamah Tinggi.
Sebelum ini, perayu disabitkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, setelah didapati bersalah membunuh majikannya Kong Chau Chin.
Kesalahan dilakukan pada 1 Mac 2015 jam 5.10 petang, di Asia Cafe’ Jalan Singgah Mata, daerah Lahad Datu.
Sementara itu, ketiga-tiga korum hakim bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan seorang lelaki dibicarakan semula atas pertuduhan merogol seorang gadis kelainan upaya.
Padatahunlalu,Mahkamah Tinggi memerintahkan kes terhadap Chang Kuit Kui@Abdul Karim, 64, yang diwakili peguam Zahir Shah dibicarakan semula di mahkamah rendah.
Keputusan itu dilakukan setelah mengetepikan sabitan dan hukuman penjara selama sepuluh tahun dan enam sebatan, yang dikenakan Mahkamah Sesyen terhadap perayu, setelah didapati bersalah.
Mengikut pertuduhan, perayu merogol mangsa yang berusia 17 tahun, pada 2 Disember 2014 jam 1 petang, di sebuah bilik resort, daerah Papar.
Chang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara selama 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.