117 pelajar tinggal sehelai sepinggang
PENAMPANG: Seramai 117 pelajar lelaki Sekolah MenengahKebangsaan(SMK) Datuk Peter Mojuntin di sini tinggal sehelai sepinggang selepas blok asrama mereka musnah terbakar pada pagi Isnin.
Ketua Warden SMK Datuk Peter Mojuntin Ah Chin berkata, kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 7.15 pagi ketika semua pelajar berada di sekolah.
Menurutnya, kebakaran itu membabitkan sembilan bilik asrama bagi pelajar dari Tingkatan 1 hingga 5.
“Kebakaran ini melibatkan tingkat atas satu blok asrama lelaki dan semua barangan pelajar serta peralatan asrama hangus terbakar.
“Bagaimanapun, tiada pelajar dilaporkan mengalami sebarang kecederaan akibat dari kejadian ini,” katanya ketika dihubungi Utusan
Borneo di sini pada Isnin. Beliau berkata, buat sementarawaktu,semuapelajar yang terjejas ditempatkan di satu lagi blok asrama.
Akibat dari kebakaran itu jelasnya, sesi persekolahan terpaksa ditangguhkan pada hari berkenaan.
Katanya, sejak bertugas di sekolah itu pada 2006, inilah kejadian kebakaran asrama yang pertama berlaku di SMK Datuk Peter Mojuntin.
Dalam pada itu, pasukan bomba berjaya memadamkan api keseluruhannya sekitar jam 8 pagi.
Pihak sekolah masih menunggu laporan siasatan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengetahui punca sebenar kejadian itu.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Datuk Peter Mojuntin Adelaide Cornelius berkata, para pelajar memerlukan barangan segera seperti tilam, tikar, bantal, selimut, peralatan sekolah dan mandi.
Menurutnya, kebanyakan pelajar yang terlibat datang dari kawasan pedalaman dan mereka amat memerlukan sumbangan segera.
“Bagi pihak yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya di akaun Alliance Bank PIBG SMK Datuk Peter Mojuntin Penampang 101230010009479,” katanya.