Rakyat diminta sokong kerajaan sedia ada
Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Hamisa Samat mahu rakyat di daerah Tawau terus memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada di peringkat negeri dan Persekutuan bagi membolehkan agenda pembangunan di negeri itu dapat diteruskan dengan lancar.
Beliau berkata, kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) sekarang begitu prihatin dengan keperluan pembangunan di Sabah sehingga menyalurkan peruntukan besar demi kesejahteraan penduduk sama ada di bandar atau di luar bandar.
“Hasil pimpinan dan dasar-dasar yang dibawa kerajaan, rakyat Sabah hari ini menikmati pelbagai kebaikan termasuk hidup dalam negara yang aman dan tenteram selain keadaan ekonomi yang baik,” katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di Balairaya Kampung Sg Udin, Kalabakan Tawau.
Beliau berkata, walaupun keamanan yang dikecapi mungkin dianggap ringan bagi sesetengah pihak, namun ia sebenarnya suatu yang sukar dicapai dan hanya dinikmati menerusi dasar kerajaan BN yang mewujudkan kerjasama dan perpaduan antara kaum.
Hamisa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjong Batu berkata, golongan generasi muda adalah pencetus kepada masa depan negara, sebab itu generasi muda digalakkan untuk menyokong kerajaan yang sedia ada.
Ini kerana katanya golongan muda ini yang akan mewarisi pengasas-pengasas negara yang selama ni telah banyak berbakti terhadap Malaysia dan Sabah amnya.
“Oleh itu, generasi muda harus menghayati usaha kerajaan untuk membantu masa depan negara yang lebih cerah dan perlu mendukung perjuangan pemimpin terdahulu bagi mencorak masa depan negara yang lebih maju dari sedia ada.
“Jangan kerana hasutan pembangkang, yang selalu memburukkan pemimpin dapat mengubah pandangan generasi muda terhadap kerajaan. Padahal kerajaan yang selama ini banyak membantu meringankan beban,” katanya.
Terdahulu, beliau merasmikan Program Kenali Diri anjuran Unit Pendidikan Kemahiran (PKEM) Kalabakan di Kg.Simpang Tiga Merotai Tawau dan melawat projek The Malaysian Cohort anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Dewan Arena Tawau.