Meningkatkan kebajikan anggota EMPTA
KUALA LUMPUR: RAM Credit Information Sdn Bhd (RAMCI) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Peniaga Alat Ganti Kejuruteraan dan Kenderaan Selangor dan Wilayah Persekutuan bagi melindungi termasuk meningkatkan kebajikan anggota-anggotanya.
RAMCI dalam satu kenyataan semalam, berkata ia akan memberikan anggota-anggota EMPTA dengan maklumat kredit dan perniagaan yang kritikal melalui Credit Track RAMCI, satu sistem berasaskan web yang boleh diakses 24/7, bagi membantu mereka dalam menguruskan risiko kredit mereka dengan berkesan.
Pada masa yang sama, Biro Perdagangan RAMCI, sebuah platform kerjasama berkecuali bebas, akan bertindak sebagai saluran bagi syarikat-syarikat alat ganti dan komponen kereta tersebut untuk berkongsi corak pembayaran para pembeli berasaskan prinsip timbal balik.
Ketua Pegawai Eksekutif RAMCI, Dawn Lai berkata, berkata dengan perkongsian maklumat pembayaran keseluruhan, anggota-anggota EMPTA akan mendapat manfaat daripada gambaran yang lebih menyeluruh mengenai sejarah pembayaran para pelanggan serta cara pembayaran mereka dengan pemiutang perdagangan lain.
“Secara keseluruhan, kami percaya usaha sama ini merupakan petanda baik untuk industri, kerana Credit Track dan Biro Perdagangan telah terbukti berkesan dalam membantu syarikat-syarikat termasuk perusahaan kecil dan sederhana mengurangkan risiko potensi hutang lapuk.
“Memandangkan cabaran ekonomi semasa, syarikat perlu berhati-hati dalam mengejar wang yang terhutang serta apabila mahu membuat keputusan untuk memutuskan lanjutan kredit kepada syarikat yang lain,” katanya lagi
Pengerusi EMPTA, Law Khan berkata kerjasama dengan RAMCI akan menambah nilai kepada anggota EMPTA dan membantu mereka mewujudkan asas yang kukuh dalam pengurusan kredit.
“Dalam iklim perniagaan yang mencabar hari ini, terdapat keperluan yang semakin meningkat untuk meneliti sejarah pembayaran pelanggan bagi memantapkan pengurusan kewangan anggota-anggota kami dan membantu melindungi perniagaan mereka daripada risiko,” katanya.
EMPTA, merupakan sebuah persatuan bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan dengan objektif utama untuk menyatukan dan meningkatkan perdagangan di kalangan anggota, ia mempunyai lebih 900 anggota yang terdiri daripada pengeluar, pengimport, pengeksport, pengedar, pemegang francais, pemborong dan peruncit. -Bernama