China mahu muktamadkan rundingan RCEP
BEIJING: China berharap dapat memuktamadkan semua rundingan berkaitan Kerjasama Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) selain mempercepatkan usaha pembangunan Kawasan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Asia Pasifik dan Komuniti Ekonomi Asia Timur.
Perdana Menteri, Li Keqiang berkata pihaknya juga bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi menggerakkan rundingan perdagangan pelbagai hala dan akan berusaha ke arah memuktamadkan rundingan RCEP lebih awal selain melindungi perdagangan bebas.
“China menggesa semua pertikaian perdagangan dapat diselesaikan menerusi rundingan dan pada masa sama menentang sebarang dasar perlindungan dan akan terus melindungi haknya yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Laporan Mengenai Usaha Kerajaan pada sesi pertama Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) di Dewan Besar Rakyat di sini, semalam.
Sesi pertama NPC yang dirasmikan semalam akan berlangsung selama 15 setengah hari.
RCEP yang diterajui China merupakan cadangan FTA dalam kalangan 10 negara anggota ASEAN merangkumi Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam serta enam negara lain yang menjalinkan FTA dengan kumpulan serantau itu seperti Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.
Mengulas selanjutnya, Li turut berkongsi komitmen China untuk terus bekerjasama ke arah membangunkan koridor utama antarabangsa serta memperkukuhkan kerjasama bagi memperkemaskan pemeriksaan kastam di sepanjang laluan Inisiatif ‘Belt and Road’ (BRI).
“Kami akan melonjakkan kerjasama antarabangsa di bawah inisiatif itu dan China juga komited untuk berkongsi pertumbuhannya menerusi perbincangan dan kolaboratif serta bertindak di atas hasil Kerjasama Antarabangsa Forum BRI,” katanya.
Menurut Li, China telah bertindak membuka pintu negara itu seluas-luasnya kepada dunia dan memainkan peranan utama bagi pembangunan sendiri yang sebaliknya menjadi peluang penting kepada negara lain. -Bernama