Wajib miliki pensijilan MSPO menjelang Disember 2019
KUALA LUMPUR: Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) boleh dikatakan salah satu instrumen penting dalam menjenamakan minyak sawit Malaysia sebagai pilihan utama di pasaran antarabangsa.
MSPO ini mula dilancarkan sejak 2015 dan ianya dilaksanakan selari dengan undang-undang semasa negara serta pengurusan penanaman kelapa sawit melalui amalan pertanian terbaik. Kelebihan MSPO adalah ia akan memanfaatkan industri itu sendiri sekaligus menjadikan minyak sawit Malaysia sebagai pilihan utama di peringkat antarabangsa.
MSPO adalah skim pensijilan yang dibangunkan kerajaan bagi memastikan industri dan pekebun kecil sawit mematuhi keperluan digariskan untuk menghasilkan minyak sawit mampan. Pensijilan MSPO juga dapat meningkatkan kesedaran pekebun kecil mengenai perlindungan alam sekitar.
Sehubungan itu, MPOB akan mewajibkan semua syarikat peladangan dan pekebun kecil memiliki sistem pensijilan MSPO sehingga Disember 2019.
Pengerusi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) Datuk M Nagarajan (gambar), kerajaan menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan memberikan insentif kepada pekebun kecil bagi mendapatkan pensijilan MSPO dan insentif penuh itu diberikan bertujuan menampung yuran pengauditan pensijilan.
Katanya pemberian insentif berkenaan dapat mengurangkan bebanan kewangan kepada pekebun kecil bagi menampung yuran pengauditan pensijilan itu. Selain itu, pemohon juga kan diberikan sokongan teknikal untuk memastikan isu-isu pembangunan mampan dapat dicegah.
“Pematuhan pensijilan ini memastikan persekitaran kerja selamat dan kondusif, meningkatkan kesedaran mengenai perlindungan alam sekitar, meningkatkan interaksi sosial dalam kalangan masyarakat sekitar.
“Proses pensijilan MSPO ini juga menunjukkan komitmen Malaysia terhadap pengeluaran minyak sawit Malaysia yang mampan dan mesra alam. Pada masa yang sama, ia juga dapat membantu meningkatkan produktiviti dan kualiti minyak sawit sekaligus menjana pendapatan,”
“Oleh itu saya menyeru pada mereka yang terlibat dalam industri ini untuk mendaftar mendapatkan pensijilan MSPO memastikan minyak sawit Malaysia akan diterima dan diiktiraf di pasaran antarabangsa melalui pelaksanaan pensijilan MSPO,” katanya ketika ditemui wartawan Utusan Borneo di ibu pejabat MPOB Kuala Lumpur.
Jelas Nagarajan lagi, peratusan kawasan tanaman yang memiliki pensijilan MSPO masih rendah dan pihak kementerian melalui MPOB sedang mengambil langkah bagi meningkatkan pensijilan itu.
“Sehubungan itu, MPOB giat menjalankan siri jelajah bagi memberi penerangan mengenai pensijilan MSPO dan bagi pemohon yang masih keliru mereka boleh mendapat khidmat nasihat teknikal secara percuma oleh pegawai MPOB atau datang cawangan yang terdekat,” katanya.
Bagi bahagian di Sabah dan Sarawak pula kita akan menghantar dua orang wakil dari MPOB untuk bertemu dengan semua penggiat industri sawit ini,” jelas beliau.
Sehingga Januari 2018 kira-kira 633,232.53 hektar ladang sawit sudah mematuhi pensijilan MSPO dan ini adalah termasuk Sabah iaitu sebanyak 173,860.85 dan Sarawak 158,741.04