Utusan Borneo (Sabah)

162 bersaing di Terbuka SGCC

- QWEK Oleh DESMOND

KOTA KINABALU: Seramai 162 pemain memulakan persaingan di Kejohanan Golf Amatur SGCC Terbuka Ke-30 dan Kejohanan Senior Terbuka SGCC Ke-4, 2018 di Sabah Golf and Country Club (SGCC), Bukit Padang bermula esok hingga Ahad.

Kapten SGCC Ng Loong Fah (gambar) berkata, penyertaan memberangs­ang itu menyaksika­n kategori terbuka lelaki disertai 80 pemain, kategori terbuka wanita disertai 14 pemain, kategori senior lelaki disertai 54 pemain dan kategori senior wanita disertai 14 pemain.

“Penyertaan melebihi sasaran awal 128 pemain. Sehubungan dengan itu, pihak penganjur telah mengubah masa permulaan permainan yang sepatutnya bermula pada sebelah pagi sahaja.

“Peserta kategori terbuka akan memulakan permainan seawal 7.00 pagi, manakala pemain kategori senior akan memulakan permainan bermula 11.30 pagi menerusi pelepasan secara `staggered’ (berperingk­at).

“Persiapan lapangan telah berjalan dengan baik dan lapangan ini telah bersedia sepenuhnya. Kelajuan `green’ dijangka mampu mencapai 9-10 kaki,” jelas beliau ditemui di rumah kelab pada Rabu.

Dalam pada itu, persaingan tahun ini pastinya sengit dengan kehadiran tiga juara bertahan kecuali juara bertahan senior lelaki Desmond Jong yang tidak dapat beraksi atas komitmen kerja.

Juara bertahan lelaki terbuka Christophe­r Daniel James dijangka akan mendapat tentangan sengit dari juara tidak asing lagi Lee Ka Tung dari Sibu, Sarawak selain Malcom Ting, Mohd Firdaus Sabri, Safaruddin Abidin serta Leduin Jordan Mobijohn.

Dalam kategori wanita terbuka pula, juara bertahan Jacqueline Lau dijangka akan dicabar hebat oleh Mirabel Ting dari Miri, Sarawak.

Ketiadaan Desmond membuka saingan merebut gelaran senior lelaki tahun ini yang mungkin menjadi milik dua pemain sensasi iaitu Peter Tan atau Peter Wong.

Manakala juara bertahan kategori senior wanita Rokia Daud dijangka akan disaingi oleh kapten wanita Kinabalu Golf Club (KGC) Josephine Chu.

Hadiah menarik bagi Pukulan Selubang (HiO) yang lumayan berupa wang tunai bernilai RM30,000 dan tayar kereta pacuan empat roda. -

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia