Ka Tung sedia pertahan Terbuka KGC
KOTA KINABALU: Juara bertahan Lee Ka Tung sedia mempertahankan kejuaraan di Kejohanan Golf Amatur KGC Terbuka Ke-31, 2018 yang akan berlangsung di Kinabalu Golf Club, Tanjung Aru bermula 23-25 Mac.
Presiden KGC Datuk Abd Razak Walli semasa sidang media di rumah kelab pada Khamis berkata, Kah Tung dari Sibu, Sarawak telah mengesahkan penyertaan beliau dalam memburu gelaran hatrik di kejohanan dwi tahunan itu selepas kejayaan 2014 dan 2016.
Beliau juga merupakan juara empat kali kejohanan itu selepas muncul selaku juara buat kali pertama dalam tahun 2006 diikuti kejuaraan kedua dalam tahun 2010.
Di tahun 2008, Ka Tung tewas di tangan Nicholas Fung yang kini menjadi pemain profesional ternama negara manakala pada tahun 2012, beliau gagal menyaingi kehebatan Fazley Chua yang muncul selaku juara.
“Kita meletak sasaran untuk menarik penyertaan 112 pemain dan jika penyertaan memberangsang, jumlah maksima yang dapat kita terima ialah 120 pemain.
“Setakat ini kita telah menerima penyertaan pemainpemain handalan termasuk dari Keningau, Kudat dan Sandakan selain dari sekitar ibu negeri serta dari Sarawak, Semenanjung Malaysia serta Brunei Darussalam,” jelas Razak.
Dalam pada itu, Kapten Lelaki KGC; Chua Poh Guan berkata, pihak beliau telah melakukan persiapan terbaik dalam usaha mengembalikan zaman kegemilangan KGC seperti 20 tahun dahulu.
“Kerja-kerja intensif sedang dilakukan untuk menyediakan lapangan golf ini sebagai sebuah medan pertarungan yang sempurna dan mengembalikan kehebatan lapangan ini yang mana suatu ketika dahulu merupakan antara lapangan paling popular di Sabah.
“Kita mahu memetakan semula Terbuka KGC sebagai antara kejohanan utama di bawah kalander Persatuan Golf Sabah (SGA),” tambah beliau.
“Ketika ini, kerja-kerja persediaan lapangan telah mencapai 80 peratus dan baki 20 peratus lagi akan diselesaikan beberapa hari sebelum hari pertandingan seperti mengemaskan persekitaran `tee-box’ dan `bunker’.
“Untuk tahun ini, para pemain tidak dibenarkan menggunakan `buggy’, dan semua yang bertanding perlu berjalan kaki. Oleh itu, mereka yang berniat untuk membawa `caddy’ sendiri diminta untuk mendaftar `caddy’ masingmasing pada KGC seawal yang mungkin,” tambah Poh Guan.
Hadir sama disidang media itu ialah timbalan presiden Edmund J. Doudilim, setiausaha kehormat Harry Beattydanbendaharikehormat Puney Kiob, setiausaha golf Kassim Yunus serta ahli majlis tertinggi KGC dan ahli jawatankuasa penganjur.