Bantuan tunai lonjak semangat pelajar: Anita
PEMBERIAN wang saku kepada pelajar yang kurang mampu dapat melonjakkan semangat pelajar untuk lebih tekun menggalas cabaran menjadi insan berkualiti, inovasi dan berdisplin.
Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Anita Baranting berkata, kerajaan telah melakukan yang terbaik dalam pembangunan modal insan menerusi dasar pendidikan negara yang lebih ke hadapan berbanding negara lain di Asia.
“Selain wang saku, bantuan buku teks, kasut, pakaian, KWAMP dan biasiswa telah menjadi komitemen kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada kalangan pelajar demi meletakkan Jabatan Pendidikan di tempat yang paling maju dan berkualiti,” katanya ketika penyampaian wang saku di SMK Bandau, Kota Marudu.
Pada majlis itu, beliau turut merasmikan dewan mini sekolah yang dinamakan sebagai Dewan Datuk Anita Baranting yang dibina dengan kos RM30,000. Sebagai tambahan, beliau memperuntukkan RM22,000 lagi untuk membeli bangku dan pemasangan hawa dingin dalam dewan.
Anita yang juga Adun Tandek berkata, pada tahun ini seramai 892 pelajar menerima bantuan itu yang melibatkan jumlah RM892,000. Beliau berharap bantuan itu dapat dibelanjakan dengan berhemah untuk kegunaan pembelajaran.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi RM5,000 kepada PIBG sebagai sokongan kepada kalangan ibu bapa yang tidak pernah berkira membantu pencapaian prestasi sekolah.
Sementara itu, Jimson Majemal dipilih sebagai YDP PIBG SMK Bandau ke-16 yang menyaksikan beberapa muka baharu termasuk penulis bebas Benjohn Simbaku.
Terdahulu, Pengetua SMK Bandau Halim Haji Bidin merakamkan terimakasih atas perhatian Anita menyalurkan peruntukan kepada sekolah berkenaan.
SMK Bandau yang dirasmikan pembukaannya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini turut menjadi johan pertandingan tandas peringkat negeri.