Perkasa ekonomi ummah
YaPEIM sedia jalin kerjasama dengan MBR
KOTA KINABALU: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sedia menjalin kerjasama dengan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (MBR) dalam usaha memperkasa ekonomi ummah.
Ketua Pengarah YaPEIM Datuk Abibullah Samsudin berkata, pihaknya mempunyai tenaga mahir dan kepakaran untuk membantu institusi masjid yang ada perancangan mahu membangunkan ekonomi umat Islam seperti sistem koperasi.
“Ini bertujuan memudahkan jemaah membeli barangan keperluan di kawasan masjid sambil mengerjakan ibadah fardu ain dan fardu kifayah.
“Lagipun, tahap ekonomi umat Islam perlu mantap untuk memudahkan mereka menunaikan dan melaksanakan kerja ibadah yang memerlukan perbelanjaan seperti menunaikan fardu haji,” katanya selepas mengetuai rombongan YaPEIM ke Masjid Bandaraya, di sini.
Sementara itu, Pengerusi MBR Datuk Haji Jamal Tun Haji Sakaran berkata, pihaknya sentiasa mencari peluang dan kaedah menjana pendapatan selaras dengan konsep membangunkan ummah melalui masjid.
Katanya langkah itu menepati sunnah Rasulullah SAW yang menjadikan masjid sebagai medan membangunkan jemaah bukan hanya tertumpu pada tujuan ibadah fizikal dan rohani semata-mata.
“Tahap ekonomi umat Islam perlu mantap untuk memudahkan mereka menunaikan dan melaksanakan kerja ibadah yang memerlukan perbelanjaan seperti menunaikan fardu haji. DATUK ABIBULLAH SAMSUDIN Ketua Pengarah YaPEIM