LALUAN DISAH SELAMAT
Aktiviti pendakian Gunung Kinabalu dibuka semula hari ini
KOTA KINABALU: Aktiviti pendakian ke Gunung Kinabalu dibuka semula pada hari ini (10 Mac) setelah keadaan laluan pendakian disahkan selamat untuk digunakan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata keputusan itu diambil setelah operasi tinjauan dilakukan dari Timpohon (KM 0) hingga Puncak Low (KM 8.72) pada petang Jumaat.
Tinjauan yang dilakukan Pasukan Peninjau Summit Trail Gunung Kinabalu yang disertai 47 orang mendapati tidak ada kerosakan besar berlaku. Hanya kerosakan kecil sahaja yang dikesan dan ia telah diperbaiki.
“Laluan pendakian gunung adalah selamat digunakan. Bangunan penginapan di kawasan Panalaban juga tidak terjejas.
“Oleh itu, setelah perbincangan teliti dilakukan dengan pihak berkaitan (Taman-Taman Sabah (TTS), Malim Gunung, Pasukan Khas Mencari & Menyelamat Gunung (Mosar), porters, kakitangan Sutera Sanctuary Lodge (SSL) dan Mountain Torq, semua pasukan peninjau sebulat suara mengesyorkan saya untuk mengisytiharkan Kinabalu Summit Trail selamat untuk digunakan.
“Aktiviti pendakian boleh dibuka semula kepada orang ramai pada esok (10 Mac),” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Jumaat.
Larangan pendakian dikeluarkan serta-merta pada malam Khamis berikutan gempa bumi sederhana bermagnitud 5.2 yang berlaku pada 9.06 malam. Gegaran berpusat di lokasi 6.1 Utara 116.6 Timur, kira-kira 16 kilometer barat laut Ranau.
Masidi berkata pada malam Jumaat, sembilan kakitangan TTS, Mosar dan SSL akan bermalam di kawasan Panalaban sebagai langkah tambahan untuk memastikan keadaan kembali selamat.
Dengan itu, larangan sementara untuk mendaki Gunung Kinabalu boleh ditarik mulai hari ini.
Pada Jumaat, seramai 135 pendaki terjejas tidak dapat menaiki Gunung Kinabalu berikutan larangan pendakian yang dikeluarkan pada malam Khamis.
Sementara itu, Pengarah Taman-Taman Sabah Dr. Jamili Nais dalam kenyataan pada malam Khamis memaklumkan terdapat beberapa runtuhan dikesan berlaku sepanjang laluan pendakian. Runtuhan agak besar dikesan pada kilometer (KM) 1.5. Namun, laluan itu masih boleh dilalui.
Malah, runtuhan turut kedengaranberlakudibahagian menghadap Kampung Mesilau, Kundasang dan belakang Tunku Abdul Rahman Peak
tetapi runtuhan dipercayai jatuh ke arah Low’s Gully.
Tiada sebarang kecederaan kepada pendaki mahupun kerosakan bangunan penginapan yang dilaporkan berlaku.
Kesemua 239 individu termasuk 130 pendaki yang berada di Laban Rata semasa kejadian gempa bumi itu berlaku berjaya dibawa turun dengan selamat ke Timpohon Gate secara berperingkat antara 1.30pagi hingga 4.30 pagi.
Individu lain termasuklah 42 malim gunung, porter (empat), kakitangan SSL (30), pekerja binaan (empat), TTS (enam), SAR TTS (lima), enam anggota Mosar, serta 12 petugas Mountain Torq.