Manifesto Pakatan Harapan - janji vs `track record’
KOTAKINABALU:Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Pakatan Harapan mengandungi 60 perkara yang dilancarkan di Shah Alam, Selangor pada 8 Mac 2018 perlu dinilai bersama tiga prasyarat, kata Ketua Pemuda Umno Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.
Katanya, pertama, pembangkang yang baharu mungkin bebas memberikan pelbagai janji manis namun kali ini berbeza dengan pembangkang yang bernama Pakatan Harapan.
“Ini kerana mereka diketuai oleh para pemimpin ‘kitar semula’ yang masing-masing mempunyai rekod tahap prestasi kepimpinan sepanjang mereka berada dalam kerajaan dahulu,” katanya.
Oleh itu katanya, kalau diamati, `janji-janji harapan’ ini terikat dengan senarai panjang ‘bailouts’ kronisme Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang rakan-rakan Pakatan beliau sendiri dedahkan dahulu.
Masalah air rakyat Selangor di bawah kepimpinan Menteri Besar dari PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, skandal penjualan tanah dan kontroversi projek terowong dasar laut kerajaan DAP Lim Guan Eng.
Semua `ketirisan’ ini merupakan sebahagian daripada senarai panjang yang tidak boleh dikesampingkan dalam menilai janji-janji baharu mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Armizan berkata, begitu juga dengan sejauh mana rekod pencapaian kerajaan negeri Johor pimpinan bekas menteri besarnya yang ketika ini Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu berbanding kerajaan negeri Johor pimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini.
Demikianlah juga katanya, berapakah daripada 60 perkara ini yang pernah cuba dilaksanakan oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika beliau memimpin Kedah? Azmin di Selangor dan Lim Guan Eng di Pulau Pinang? Sebelum tertipu dengan janjijanji baharu ini, rakyat haruslah menyelidiki dahulu sejauh mana rekod prestasi pimpinan Pakatan Harapan.
Kedua, katanya pembangkang yang berwibawa tidak akan dengan mudah mengukir janji-janji populis tanpa mengambil kira kapasiti dan kemampuan kerajaan untuk menunaikannya.
“Yang hairannya dalam tempoh lima tahun pemerintahan sesebuah kerajaan, tidak dinyatakan daripada manakah sumber pendapatan yang mereka akan peroleh untuk menampung ‘janji-janji bulan dan bintang’ mereka? ,” katanya.
Ketiga katanya, mengetahui pentingnya undi rakyat Sabah dan Sarawak, segmen khusus disediakan pula dalam manifesto berkenaan untuk menabur harapan kosong kepada penduduk Borneo.
“Saya fikir rakyat Sabah sudah cukup mengenali kepimpinan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir,” katanya.
Armizan yang juga Exco Pemuda Umno Malaysia berkata, tempoh 22 tahun pentadbiran Dr Mahathir telah cukup menginsafkan rakyat Sabah.