Padah lolos tahanan polis
Lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara setahun
LAHAD DATU: Seorang lelaki tempatan yang lolos daripada tahanan polis pada 1 Mac lepas dan diberkas semula pada keesokannya dijatuhkan hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret, dekat sini, pada Jumaat.
Majistret Ryan Sagirann Rayner memerintahkan Ibrahim Gabra, 32, menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tertuduh ditangkap pada 2 Mac.
Ibrahim mengaku bersalah sengaja melarikan diri daripada jagaan empat orang masing-masing terdiri seorang pegawai pendakwa, dua anggota berpangkat Koperal dan seorang anggota APR ketika tertuduh dibawa bagi menghadiri kes sebutan semula pada 15 Februari lalu di bawah Seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya iaitu memiliki sebilah parang panjang.
Ibrahimdidakwamelakukan kesalahan itu semasa van yang membawa dua tahanan termasuk seorang pesalah juvana dalam perjalanan dari Balai Polis Kunak menuju Mahkamah Daerah Lahad Datu pada kira-kira 9.15 pagi 1 Mac, mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau keduaduanya, jika sabit kesalahan.
Hasil siasatan polis didapati Ibrahim sengaja melepaskan diri daripada tahanan mahkamah dengan cara membuka gari seorang lagi tahanan yang duduk disebelahnya iaitu pesalah juvana dan semasa melalui jalan di hadapan mahkamah tertuduh dapat meloloskan diri dengan cara membuka pintu belakang van yang membawa empat pegawai dan anggota polis serta dua tahanan yang mahu dibicarakan di Mahkamah Lahad Datu.
Selepas itu tertuduh terus melarikan diri ke kawasan semak berhampiran mahkamah dan berjaya menghilangkan diri selama semalaman.
“Ketika dalam pelarian, tertuduh turut mendapat bantuan daripada seseorang yang membantu dengan cara membawanya pulang ke rumah dengan berjalan kaki dan memberikan kemudahan untuk membuka ikatan gari selain memberikan kemudahan untuk tidur selama satu malam sebelum tertuduh melarikan diri ke Felda Sahabat 16.
“Tertuduh berjaya ditangkap semula pada 2 Mac kira-kira jam 1.15 petang selepas polis menerima maklumat dari orang awam di Kampung Sinakut Sahabat 16,” katanya.
Berikutan penangkapan semula tertuduh, polis turut menahanseoranglelakiberusia 30 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batu Tujuh Jalan Silabukan pada jam lebih kurang 2 petang 2 Mac dan dipercayai memberi membantu terhadap tertuduh sepanjang tertuduh meloloskan diri.