Tobisa diberi peranan kendali tarian mega bertaraf dunia
KOTA KINABALU: Persatuan Tobilung Sabah Bersatu (Tobisa) telah diberi peranan lebih besar untuk mengendalikan dua program tarian mega bertaraf dunia pada 2019 dan 2020.
Tobisa telah menunjukkan komitmen dan Dance World Cup (DWC) amat berpuas hati dengan penganjuran saringan kelayakan buat pertama kali di Malaysia.
Presiden Dance World Cup (DWC) John Grimshaw berkata atas kesungguhan Tobisa, DWC melahirkan hasrat untuk memberi Tobisa kepercayaan untuk menganjurkan DWC Pasific Rim Qualifier 2019 yang melibatkan beberapa negara seperti Filipina, Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.
John turut mengumumkan DWC Final 2020 akan diadakan di Malaysia yang akan melibatkan 50 buah negara dan 15,000 peserta.
John Grimshaw berkata demikian di majlis penutupan Saringan Kelayakan Malaysia di Dewan Keseniaan dan Kebudayaan Negara.
Presiden Tobisa Muji NC Ampau berkata, Tobisa telah banyak menyertai pertandingan Pesta Tarian Dunia di pelbagai negara, mengangkat nama negara di peringkat antabangsa dan telah menempa kejayaan.
“Ini bukan satu perkara kecil tapi adalah pengiktirafan dunia kepada Tobisa dan negara Malaysia. Terima kasih kepada Presiden DWC yang memberi kepercayaan,” kata Muji.
Muji turut mengucapkan penghargaan dan tahniah kepada Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Tobisa, jawatankuasa penganjur dan rakan-rakan kerjasama atas kejayaan menganjurkan DWC Malaysia dengan begitu cemerlang dan gemilang.
Saringan kelayakan Pesta Dunia diadakan selama tiga hari di Dewan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara menghimpunkan bakat pelbagai lapisan untuk mencari peluang bagi bersama beraksi di pentas dunia.
Sebanyak 29 kategori telah dipertandingkan dan persembahan setiap perserta adalah luarbiasa. Negara Sepanyol sebagai tuan rumah pada tahun ini.