Utusan Borneo (Sabah)

Gegaran susulan mungkin berlaku

Berikutan gempa bumi sederhana berukuran 5.2 skala richter

- Oleh SURAIDAH ROSLAN

KOTA KINABALU: Pakar Geologi Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Felix Tongkul meramalkan beberapa gegaran susulan akan terus berlaku di kawasan Ranau berikutan gempa bumi berukuran 5.2 skala richter yang berlaku pada 9.06 malam Khamis.

Pakar Geologi Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Felix Tongkul berkata, gegaran yang berlaku pada malam Khamis itu adalah gegaran baharu dan bukan gegaran susulan daripada gempa bumi pada 5 Jun 2015.

Katanya, gegaran susulan selepas gempa bumi yang meragut 18 nyawa pendaki pada Jun 2015 sudah lama berhenti kerana tiada laporan gegaran susulan diterima dalam tempoh yang agak lama.

Beliau berkata, gegaran sederhana dengan magnitud 5.2 sebegitu hanya boleh berlaku selang 10 tahun. Namun gegaran susulan dengan magnitud lebih kecil akan terus berlanjuta­n sehingga ia boleh sebati dengan keadaan kawasan itu.

Menurutnya, sebelum gegaran sederhana dengan kedalaman lima kilometer (5km) itu berlaku terdapat satu gegaran bermagnitu­d 2.8 dikesan pada 9.27 pagi Khamis. Tetapi gegaran itu tidak dirasai penduduk di sekitar kawasan terlibat.

Ditanya adakah gegaran yang berlaku itu memberi kesan terhadap Gunung Kinabalu, Felix berkata, disebabkan gempa bumi itu berlaku di kawasan yang hampir dengan Gunung Kinabalu, ia pasti memberi kesan ke atas gunung berkenaan.

Akan tetapi kesannya tidak seteruk gempa bumi berukuran 5.9 skala richter yang berlaku pada Jun 2015.

Dalam kenyataan Jabatan Meteorolog­i Malaysia, pada 8.09 pagi Jumaat berlaku satu gempa bumi lemah dengan magnitud 3.1 dengan kedalaman 10km di Ranau. Tiada sebarang amaran Tsunami dikeluarka­n.

Sementara itu, Pegawai Daerah Ranau Faimin Kamin berkata, tiada sebarang kerosakan struktur bangunan dilaporkan berlaku di sekitar Ranau.

Katanya, beliau sudah menghubung­i semua agensi termasuk Pejabat Pendidikan Daerah dan Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung (JKKK) untuk mendapatka­n laporan kerosakan, setakat ini tiada sebarang laporan kerosakan diterima.

Jika tiada laporan yang dimaklumka­n kepada Pejabat Daerah maka, memang tiada kerosakan yang berlaku.

Beliau memaklumka­n Jawatankua­sa Bencana Alam Daerah belum lagi diaktifkan kerana keadaan yang berlaku masih terkawal.

Bagaimanap­un, pihaknya akan terus melakukan pemantauan biasa dengan penyelaras­an daripada agensi lain seperti Polis, Jabatan Bomba & Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Unit Pemimpin Pembanguna­n Masyarakat (UPPM).

 ??  ?? FELIX
FELIX

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia