Utusan Borneo (Sabah)

Penjawat awam tidak terlibat PRU14 bebas bercuti

-

KUANTAN: Cuti penjawat awam yang tidak terlibat secara khusus dengan pilihan raya umum 14 (PRU14) tidak dibekukan, kata Ketua Pengarah Perkhidmat­an Awam Tan Sri Zainal Rahim Seman.

Beliau berkata tiada sebab untuk menghalang kakitangan awam bercuti termasuk untuk ke luar negera disebabkan PRU14.

“Bagaimanap­un sektor perkhidmat­an awam yang terbabit secara langsung dengan PRU14 seperti Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tertakluk kepada jabatan masing-masing untuk sebarang urusan permohonan cuti.

“Kami tak keluarkan arahan untuk beku cuti kepada kakitangan awam tapi kalau yang terbabit dengan pilihan raya umum (secara khusus) sudah tentu mereka terlibat dan sibuk.. .takkan mereka hendak cuti pula.

“Cuma untuk perkhidmat­an lain mereka boleh bercuti seperti biasa tiada masalah dan segala urusan itu atas budi bicara ketua masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jangkauan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Jabatan Perkhidmat­an Awam (JPA) Zon Timur 2018, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmat­an Awam (Operasi), Jabatan Perkhidmat­an Awam Datuk Nor Inchun Mohamed Salleh, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Dalam perkembang­an lain, Zainal Rahim berkata, seramai 800,000 pesara penjawat awam kini boleh dikesan dan dihubungi melalui aplikasi yang diwujudkan iaitu 1PesaraFin­dMe, baru-baru ini.

Katanya, aplikasi yang dibangunka­n secara jaringan pangkalan dalam talian itu membolehka­n pihaknya terus berhubung dengan pesara kerajaan terutama dalam mendapatka­n maklum balas tentang kehidupan mereka selepas tamat perkhidmat­an.

“Aplikasi ini juga boleh diakses menggunaka­n telefon pintar… setakat ini sebanyak 50 peratus daripada jumlah keseluruha­n pesara yang aktif memberi maklum balas melalui aplikasi tersebut” katanya.

Sebelum ini, inisiatif 1Pesara diperkenal­kan pada 2014 yang merupakan program kolaborasi strategi empat agensi iaitu JPA, Kementeria­n Kewangan, Kementeria­n Kesihatan dan Kementeria­n Sumber Manusia sebagai satu pengurusan pesara kerajaan dengan lebih sistematik.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia