`Jangan buang masa bersuka ria’
Peringatan kepada generasi muda dalam penuhi masa
TAWAU: Golongan generasi muda diingatkan supaya tidak hanya memenuhi masa muda dengan bersuka ria sebaliknya mereka perlu tahu menghargai diri sendiri sebagaiasetpentingterhadap masa depan negara.
Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Hajah Hamisa Samat berkata golongan muda perlu mempunyai motivasi dan memberi tumpuan pada kemahiran hidup agar masa depan mereka lebih terjamin.
Menurut Hamisa, penglibatan belia dengan pelbagai gejala sosial seperti penagihan najis dadah dan merempit motosikal di jalan raya wajar dihindarkan kerana mereka adalah aset penting kepada negara.
Katanya, golongan belia merupakan aset modal insan negara yang tidak ternilai dan tingkah laku serta corak pemikiran mereka hari ini akan menentukan hala tuju negara di masa depan. “Usaha-usaha membangunkan belia bukanlah suatu usaha yang mudah tetapi memerlukan komitmen dan pemerhatian yang menyeluruh serta penggemblengan semua sumber yang ada.
Beliau percaya melalui program generasi bebas jenayah ini mekanisme pencegahan perlakuan jenayah dan gejala sosial dalam kalangan belia akan dapat terbentuk secara tidak langsung.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Jelajah Ikon AADK Tawau di Balairaya Kampung (Kg.) Tanjong Batu Laut, di sini pada Khamis.
Menurut Hamisa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjong Batu berkata, golongan belia harus dipersiapkan minda mereka bagi menghadapi cabaran-cabaran mendatang terutamanya dalam aspek pengurusan silang budaya.
“Realiti kini menunjukkan bahawa kebanyakan masalah sosial mahupun jenayah yang dilakukan oleh belia disebabkan terdedah dan terpengaruh dengan unsurunsur budaya negatif yang begitu terasing kepada mereka dan juga tidak sesuai diterima dalam kondisi masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Katanya, belia adalah warga paling penting dalam proses pembinaan negara, mereka mengasaskan aspirasi, mereka mengisi aspirasi tersebut dan merekalah yang berhak menikmati hasilnya apabila mereka dewasa kelak.
“Usaha membangunkan belia perlu diurus dengan ikhlas, cekap dan kebijaksanaan.
“Saya melihat untuk menghindarkan belia daripada perlakuan jenayah, belia perlu dipersiapkan dengan pelbagai bidang-bidang kemahiran sama ada yang bersifat teknikal mahupun sosial seperti aspek budaya, pendidikan, kemahiran, pembangunan sikap, pembangunan ekonomi, kesihatan, keselamatan dan kesejagatan.
“Warga belia mestilah diletakkan di bawah persekitaran yang mempunyai peluang yang cukup untuk menzahirkan potensi tertinggi mereka supaya boleh menyumbang dengan produktif kepada kemajuan dan kemakmuran negara,” tambahnya.
Usaha-usaha membangunkan belia bukanlah suatu usaha yang mudah tetapi memerlukan komitmen dan pemerhatian yang menyeluruh serta penggemblengan semua sumber yang ada. DATUK HAJAH HAMISA SAMAT Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat