Ibu bapa tunjang kesempurnaan pendidikan anak-anak
SRI AMAN: Ibu bapa diminta untuk memberikan kerjasama baik kepada guru dalam memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang sempurna memandangkan mereka adalah insan yang paling dekat dengan anak-anak.
Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Francis Harden Hollis berkata, ibu bapa seharusnya menjadi ‘guru’ kepada anak-anak mereka di rumah dan sentiasa memastikan anak mereka menelaah pelajaran.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Zumbathon anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Dewan Hollis Tini Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman dekat sini, pagi Khamis.
Menurutnya, setiap ibu bapa perlu memainkan peranan mereka bagi memastikan mutu pendidikan anak-anak sentiasa dititikberatkan.
“Ramai ibu bapa seolah-olah menganggap tugas mendidik anak-anak hanya diserahkan kepada guru di sekolah, namun mereka harus sedar bahawa mereka juga memainkan tanggungjawab penting di rumah bagi memastikan kesinambungan pembelajaran anak-anak,”katanya.
Tambahnya lagi, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan telah menyediakan pelbagai kemudahan khusus untuk meningkatkan mutu pendidikan negara.
Di samping itu, kaedah serta corak pembelajaran lebih berkesan juga diperkenal supaya para pelajar lebih memahami dan menerima ilmu yang disampaikan guru mereka.
Selain itu, Kementerian Pendidikan juga telah menyediakan pelbagai insentif kewangan bagi membantu golongan pelajar yang memerlukan supaya mereka lebih cenderung untuk belajar.
Pada masa yang sama, beliau menasihati para pelajar untuk menggunakan dengan bijak apa jua kaedah pembelajaran yang diperkenalkan terutamanya melibatkan Internet.
“Seperti mana yang kita maklum, terdapat ruang sembang maya seperti Facebook, WeChat, WhatApps, Twitter dan sebagainya yang boleh dijadikan platform untuk para pelajar berinteraksi dengan rakan-rakan lain,”katanya