Lawatan STB untuk memperkasa pelancongan luar bandar
KOTA BELUD: Pengendali pusat pelancongan luar bandar di Kadamaian dinasihatkan agar sentiasa bersatu padu, saling berkerjasama dan bersaing secara sihat, menambahbaik prasarana dan sentiasa berkreativiti di dalam mempelbagai produk pelancongan.
Pengendali pusat pelancongan juga sentiasa menambah kecekapan dan memperbaiki kekurangan ke arah khidmat yang lebih baik kepada pelancong.
Pengurus Kanan Unit Pembangunan Sabah Tourism Board (STB) Julinus @ Julian Jimit berkata, sumber pendapatan dari pelancongan memberi impak kepada komuniti, memberi pekerjaan dan berusaha mengekalkan keaslian alam semulajadi agar ia terus dinikmati oleh generasi akan datang.
“Banyak impak yang diperolehi dari sektor pelancongan, oleh itu jagalah dengan sebaiknya agar terus majukehadapandanpengusaha pelancongan hendaklah saling berkerjasama antara satu dengan yang lain,” katanya di Program Pertemuan Pengusaha Pelancongan Gabungan Zon Melangkap anjuran Persatuan Pelancongan Kadamaian (Kata) di Dewan Terbuka Eko Pelancongan Tagal Kampung (Kg.) Melangkap Tiong, di sini.
Menurut Julianus, kerajaan mengiktiraf Persatuan Pelancongan Kadamaian (Kata) dan Kadamaian telah dijadikan sebagai pilot pembangunan pelancongan luar bandar negeri Sabah.
Usaha keras Kata sejak 2014 di dalam mengerakkan komuniti adalah rahmat sehinga kini banyak pusat pelancongan tumbuh dengan pesat.
Terdahulu satu lawatan bersama STB dan Kata ke pusat-pusat pelancongan di Zon Melangkap melihat sejauh mana pengusaha membangun selari dengan pengumuman Kadamaian sebagai perintis pembangunan pelancongan luar bandar di Sabah.
Sementara itu Pengerusi Kata Walter Kandayon berkata, lawatan STB dan Kata memeriksa semua pelancongan Melangkap bagi meninjau kemajuan dan masalah yang dihadapi.
“Kita amat menghargai komitmen kerajaan melalui STB yang sentiasa mengambil perhatian kepada pelancongan luar bandar seperti Kadamaian.
“Justeru itu saya menyeru kepada semua eko pelancongan di Kadamaian menyertai ahli bersekutu Kata supaya memudahkan penyelarasan,” kata Walter.