Gegaran gempa tidak jejas minat mendaki, satu pengalaman berharga
BERHADAPAN dengan gegaran gempa bumi semasa berada di Laban Rata sedikitpun tidak menjejaskan minat Mohd Hisham Ismail,40, meneruskan aktiviti pendakian gunung terutamanya Gunung Kinabalu.
Beliau yang minat dengan aktiviti lasak berkata, beliau merasai gegaran terbabit semasa berada di bilik tidur bersama ahli kumpulannya yang kebanyakkannya sudah terlelap.
“Suasana persekitaran asrama kami masa itu sudah sunyi dan kebanyakkan pendaki sudah tidur, tambahan pula lampu bilik sudah ditutup dan hanya deru angin yang agak kuat kedengaran di luar.
“Secara tiba-tiba saya merasai gegaran kuat dan mendengar bunyi batu bergolek di bahagian luar asrama dan menyedari bahawa berlakunya gempa bumi pada ketika itu,” katanya.
Beliau berkata, selepas kirakira 10 saat berlakunya gegaran beliau terus melompat turun dari katil dua tingkat terbabit dan menghidupkan lampu sebelum mengejutkan rakanrakannya yang masih tidur.
“Saya memberitahu tujuh ahli kumpulan lain untuk tidak panik dan mengambil keperluan penting sebelum berkumpul di landasan helikopter yang ditetapkan oleh pihak pengurusan.
“Pada masa sama saya membantu dua kakitangan taman untuk mengejutkan pendaki lain dan termasuk pelancong luar yang masih bingung dengan keadaan pada masa itu,” katanya.
Beliau yang juga anggota Bomba Sukarela di Kampung Air Kudat berkata, ini adalah pengalaman kali pertamanya yang tidak dapat dilupakan tamabahan pula kejadian gempa bumi pada 2015 masih panas di ingatannya.
“Apa yang paling merisaukan saya pada masa itu adalah batu besar yang menyangkut di tepi berdekatan dengan bangunan asmara dan saya bayangkan batu berkenaan akan menimpa bangunan kami jika berlakunya gempa bumi.
“Syukurlah keadaan pada masa itu terkawal sepenuhnya bagaimanapun gegaran di lantai atau tanah teras tetap terasa dalam tempoh setiap seminit,” katanya sambil menambah pengalaman itu tidak menjejaskan minatnya untuk meneruskan pendakian di Anapurana Base Camp pada Disember depan.
Tambahnya, pengalaman itu turut memberi pengajaran kepadanya untuk sentiasa menyedari bertapa besarnya kuasa Tuhan dan ianya perlu dititikberatkan sepanjang menjalankan aktiviti membabitkan alam sekitar.
Beliau turut berkongsi tips penting dengan menyimpan bateri telefon serta sedikit bekalan makanan dan minuman untuk persediaan awal jika berhadapan kejadian kecemasan seumpamanya.
Sementara itu seorang lagi pendaki dari Perancis Thiery Brethes, 44, sedikit kecewa kerana tidak dapat meneruskan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu.
“Saya berasa sedikit kecewa kerana kami sekeluarga sudah merancang untuk menawan salah satu puncak tertinggi di Asia Tenggara.
“Kami sekeluarga bagaimanapun bersyukur kerana tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku dan pada masa akan datang kami merancang untuk melakukan pendakian sekali lagi sehingga ke puncak,” katanya.
Bagi seorang malim gunung yang hanya dikenali sebagai Boboi, 35, berkata gegaran sederhana itu adalah pengalaman pertamanya sepanjang bekerja di Gunung Kinabalu sejak dua tahun lalu.
“Keadaan masa itu sangat gelap dan kami hanya mendengar bunyi batu bergolek dan berjatuhan di sekitar kami bagaimanapun kami tidak dapat memastikan kedudukan sebenar di mana runtuhan itu berlaku.
“Meskipun sebelum ini kami sudah biasa merasai gegaran lemah semasa berada di Laban Rata tetapi gegaran yang agak kuat itu tetap menakutkan kami dan secara tidak langsung saya mengimbas kembali kejadian tiga tahun lalu yang mengorbankan saudara saya iaitu Valerian Joannes,” katanya.
Tambahnya, kejadian itu juga adalah sebab utama beliau membabitkan diri dalam pekerjaan di gunung bagi membuktikan bahawa trauma yang dihadapi ahli keluarga akibat kejadian itu boleh dihadapi.
Beliau juga akan meneruskan kerjayanya dan akan bersedia menghadapi sebarang kecemasan selepas ini berikutan minatnya yang mendalam dalam aktiviti gunung.