Pantau projek, bantu rakyat
PJKKK agen transformasi dan mata, telinga kerajaan
“Inilah budaya kerja dan tradisi kita dengan turun padang mendampingi rakyat, memenuhi keperluan dan kehendak rakyat sama ada di bandar apatah lagi di kawasan luar bandar. DATUK SERI PANGLIMA HAJI ABDUL RAHIM ISMAIL Ketua Bahagian Umno Papar
PAPAR: Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (PJKKK) diminta bersikap terbuka dan menjalin kerjasama kepada semua pihak.
Ketua Bahagian Umno Papar Datuk Seri Panglima (DSP) Haji Abdul Rahim Ismail menekankan agar setiap PJKKK khususnya di kawasan DUN N. 22 Pantai Manis sentiasa memantau pelaksanaan projek infrastruktur yang telah dilaksanakan dan mengenal pasti akan keperluan semasa bagi membantu masyarakat setempat.
Katanya, perjumpaan pada hari ini adalah kemuncak kepada program turun padang yang mana sebelum itu beliau sering bertemu rakyat di segenap lapisan masyarakat dengan menghadiri beberapa program kemasyarakatan.
“Inilah budaya kerja dan tradisi kita dengan turun padang mendampingi rakyat, memenuhi keperluan dan kehendak rakyat sama ada di bandar apatah lagi di kawasan luar bandar,” katanya semasa membuat perjumpaan bersama PJKKK Kawasan DUN N.22 Pantai Manis di Pejabat UPPM Papar, di sini pada Jumaat.
Katanya, pertemuan ini sangat bermakna kerana ia adalah pertemuan secara langsung antara kepimpinan di peringkat akar umbi.
“Selain itu, misi pertemuan ini juga adalah untuk menerangkan peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh PJKKK sebagai agen transformasi yang berkesan di luar bandar dan sekaligus sebagai mata dan telinga kerajaan,” katanya.
Rahim juga mengingatkan kepada semua PJKKK agar sentiasa bersikap terbuka dan menjalin kerjasama ber- sama Ketua-ketua Cawangan, Wakil-wakil Ketua Anak Negeri, Ketua-ketua Kampung, pihak NGO dan semua saf kepimpinan Barisan Nasional (BN).
“Jangan berkelahi dan membuat perbalahan sesama sendiri yang hanya merugikan diri sendiri,” jelasnya.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) berkata, kita akan terus mengukuhkan lagi kekuatan dan memperkasa jentera semua peringkat.
“Kita juga harus sentiasa sedia dan bersiap siaga menghadapi PRU14 bagi memastikan BN terus menjadi pilihan terbaik untuk rakyat,” ujarnya.
“Kita bukan sahaja berjanji tetapi kita akan tepati, terus bekerja dan berkhidmat untuk kesejahteraan rakyat,” tambahnya.
“Dengan semangat muafakat serta gabungan yang mantap daripada pucuk pimpinan parti dan kerajaan di peringkat negeri dan pusat, diperkukuhkan lagi dengan kerjasama erat parti-parti komponen BN Sabah, serta sokongan padu rakyat, kita akan mampu memacu kemajuan negeri ke tahap yang lebih tinggi bersama-sama kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri kita,” jelasnya.
Katanya, rakyat adalah keutamaan kerajaan kerana rakyatlah yang akan menentukan kerajaan yang memerintah.
“Oleh itu sokongan dan penglibatan rakyat amat penting seperti yang dijanjikan oleh kerajaan iaitu ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’,” tegasnya.