Obor Jubli Emas MSS Sabah kini di Telupid
TELUPID: Program Larian Obor sempena Sambutan Jubli Emas (1968 - 2018) Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS) Kali Ke-50, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) kini berada di daerah Telupid.
Upacara penyerahan obor disempurnakan sendiri Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Beluran, Haji Soje Haji Abd. Hassan kepada PPD Telupid, Drs. Mahanin Osman di pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid, pagi Jumaat.
Terdahulu, Soje mengetuai larian obor melibatkan lebih 600 orang pelajar dan guruguru dengan mengelilingi trek/balapan di Kompleks Sukan Beluran sempena perasmian penutupan Kejohanan Olahraga Kali Ke-32 MSS Daerah Beluran pada petang Khamis.
Turut mengiringi PPD Beluran ialah Ketua Unit Pembangunan Kemanusiaan (UPK) PPD Beluran, Abdullahship Abd. Wahid dan Penyelia Unit Sukan PPD Beluran, Malik Tajim.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan PPD Telupid Jamain Bakut, Ketua UPK PPD Telupid Tommy Amir dan pengetua SMK Telupid Rukimin Sulit serta hampir 40 Penolong Kanan Kokurikulum daerah Telupid dan Tongod yang seterusnya menghadiri Mesyuarat Agung Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Sabah (PSKPPS) peringkat daerah Telupid.
Sejurus obor diserahkan kepada PPD Telupid, obor tersebut yang direka khas sempena sambutan Jubli Emas MSS Sabah, diarak sekumpulan hampir 30 atlet MSSD Telupid dari dataran SMK Telupid ke Pekan Telupid dan mengelilingi bulatan simpang empat sambil diiringi kenderaan peronda (Perodua Kembara) dan anggota polis dari Balai Polis Telupid.
Menruut Tommy, kumpulan pelajar tersebut merupakan atlet terpilih yang bakal mewakili MSSD Telupid ke Kejohanan Olahraga Ke-50 MSS Sabah di Kompleks Sukan Likas pada 19 hingga 25 Mac depan yang dikelolakan oleh PPD Kota Kinabalu.
Program Larian Obor yang bermula 3 Februari lalu di Pekan Menumbok, Kuala Penyu dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Beaufort Datuk Hajah Azizah Haji Mohd. Dun semasa perasmian penutupan Kejohanan Merentas Desa MSS Sabah 2018.
Larian Obor mengelilingi 24 daerah pendidikan (PPD) di Sabah seterusnya akan diserahkan oleh rombongan dari Telupid kepada PPD Ranau pada pagi 12 Mac (Isnin), Pitas (13 Mac), Kota Marudu (14 Mac), Kudat (15 Mac), Kota Belud (16 Mac), Tuaran (19 Mac) dan Penampang (20 Mac) sebelum berakhir di Stadium Kompleks Sukan Likas Kota Kinabalu pada 21 Mac sempena perasmian Kejohanan Olahraga MSS Sabah Kali Ke-50 Tahun.
Sesungguhnya, pelaksanaan program larian obor 2018 merentasi 24 daerah sempena ulang tahun ke-50 MSS Sabah ternyata berjaya membakar dan menyemarakkan lagi semangat juang yang kian membara khasnya dalam kalangan para atlet dan juga pengurusan sukan olahraga di semua peringkat di JPN Sabah.
Kejohanan olahraga MSS Sabah 2018 mencatat sejarah tersendiriapabilabuatpertama kalinya ia dipertandingkan antara 24 daerah (PPD) di Sabah berdasarkan kelayakan asas yang telah ditetapkan dan tidak lagi menggunakan format pertandingan antara enam zon/bahagian iaitu Utara, Barat, Selatan, Tenggara, Sandakan dan Pedalaman seperti yang diamalkan sebelum ini.