Dewan perniagaan di Labuan ikrar terus sokong BN
LABUAN:Dewanperniagaan di Labuan berikrar akan terus memberi sokongan penuh kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana sumbangan besarnya terhadap pulau bebas cukai ini.
Pengerusi Dewan Perniagaan Tionghua (LCCC) Datuk Wong Kii Yii berkata dewan itu yakin, di bawah kepimpinan kerajaan sekarang, Labuan akan menikmati lebih banyak pembangunan dan ekonominya pula terus berkembang.
“Sebagai dewan perniagaan, kami tidak boleh terlalu banyak mencampuri urusan pentadbiran dan dasar kerajaan, tetapi apa yang penting ialah kerajaan perlu memastikan pihak berkuasa tempatan terus bersifat mesra perniagaan dan mewujudkan iklim kondusif bagi menarik pelabur,” katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, Sabah perlu berada di bawah kepimpinan yang tepat bagi menjamin wujudnya kestabilan politik untuk terus menarik perniagaan dan pelaburan.
“Sesiapa juga yang dipilih menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang, LCCC akan beri sokongan penuh dan sudah tentu, kami meletakkan harapan tinggi bahawa calon yang diberi mandat akan dapat menunaikan tugasnya dengan bertangunggjawab selepas pilihan raya nanti,” kata Wong.
Wong juga memuji Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli atas sumbangannya dalam menjayakan program komuniti sebagai usaha menyatupadukan masyarakat Cina secara umumnya.
“Beliau tidak pernah gagal menghadiri program melibatkan kaum Cina dan ini menunjukkan beliau adalah seorang pemimpin yang patut mendapat sokongan kami,” katanya.