Manifesto pembangkang tidak realistik, hanya angan-angan
BEBERAPA pemimpin politik dan persatuan di Sabah menyifatkan manifesto Pakatan Harapan bagi pilihan raya umum ke14 (PRU14) dibentangkan baru-baru ini sebagai tidak realistik dan hanya anganangan.
Manifesto pakatan pembangkang yang menjanjikan 10 perkara termasuk meringankan beban rakyat dalam masa 100 hari pertama pentadbiran kerajaan di bawah pakatan itu dilihat sebagai tidak melebihi daripada janji-janji politik dan hanya untuk meraih perhatian serta simpati rakyat.
Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Abdul Rahim Ismail berkata tidak ada apa-apa yang menarik mahupun luar biasa tentang manifesto pakatan pembangkang itu, dan beliau sendiri tidak yakin bagaimana pembangkang akan melaksanakan janjijanji mereka.
“Mereka (Pakatan Harapan) bercita-cita besar tetapi lihatlah masalah yang membelenggu rakyat di negeri-negeri yang mereka tadbir, seperti masalah air di Selangor dan isu terowong dasar laut di Pulau Pinang.
“Jika mereka sanggup meremehkan isu besar seperti itu, bagaimana mungkin mereka mentadbir negara dengan lebih baik seperti dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini,” katanya kepada Bernama di Kota Kinabalu pada Jumaat.
Abdul Rahim yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis berkata pembangkang sangat terdesak dan ia bukan sesuatu mengejutkan apabila mereka mengemukakan manifesto seumpama itu kerana hanya dengan cara tersebut untuk mereka menarik perhatian rakyat.
Sementara itu, Ketua UMNO Keningau Datuk Sairin Karno berkata adalah mustahil bagi pakatan pembangkang itu untuk menyediakan RM75 bilion kepada Sabah dan Sarawak apabila dalam masa sama memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
“Di mana (Pakatan Harapan) dapat sumber kewangan? Rakyat akan susah jika pakatan pembangkang memerintah negara kerana pakatan pembangkang itu tidak tahu mentadbir negara dan tidak pakar mengurus kewangan. Lihat sahaja manifesto mereka yang lebih kepada survival politik (kelangsungan politik) semata-mata,” katanya.
Sairin yang juga ADUN Liawan mengajak rakyat Sabah supaya bersatu menolak pembangkang pada pilihan raya umum akan datang, sebaliknya memberi sokongan padu kepada kerajaan BN yang terbukti mempunyai rekod pencapaian terbaik dalam membawa pembangunan di negeri ini.
Pandangan sama disuarakan Pengerusi Penyelaras BN Batu Sapi Datuk Samsudin Yahya yang menyifatkan manifesto pakatan pembangkang itu pada dasarnya hanya nampak indah di atas kertas seperti manifesto pembangkang pada PRU13.
Samsudin yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan manifesto yang hanya janji kosong sahaja.
Berbanding dengan manifesto dirangka BN, beliau berkata segala dijanjikan adalah yang mampu dilaksanakan dan telah dibuktikan sejajar dengan komitmen serta kemampuan kerajaan.
Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Sabah Chan Tzun Hei pula berkata manifesto pakatan pembangkang hanya bersifat populis untuk meraih sokongan rakyat.
Chan yang juga Pegawai Pembangunan Masyarakat DUN Elopura berkata pakatan pembangkang boleh menyenaraikan apa sahaja manifesto dan bukan untuk dilaksanakan.
Setiausaha Agung Persatuan Dusun Peribumi Sabah Rosanna Edeza menyifatkan manifesto pakatan pembangkang tidak masuk akal selain hanya perangkap bermatlamat memenangi pilihan raya semata-mata.
Katanya hasrat memansuhkan GST enam peratus dan mengembalikan cukai jualan 10 peratus serta cukai perkhidmatan enam peratus (SST) seperti dikehendaki pakatan pembangkang itu hanya akan menyusahkan rakyat.
“Saya tidak fikir rakyat begitu mudah terpengaruh dengan janji manis Pakatan Harapan,” kata Rossana dan menambah hanya kerajaan BN yang mampu membawa pembangunan demi kesejahteraan rakyat berdasarkan rekod cemerlang parti komponen itu mentadbir negara dan negeri.
Di Tawau, Timbalan Presiden Persatuan Rumpun Bugis Melayu Malaysia (PBRM) Tasman Mattor berkata manifesto pakatan pembangkang merupakan kitar semula manakala kebanyakannya sudahpun dilaksanakan kerajaan BN.
Sebagai contoh, katanya manifesto untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak berteraskan Perjanjian Malaysia 1963 itu terlebih dahulu dilaksanakan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji semula hak negeri Sabah dan Sarawak yang hilang sekali gus memastikan hak itu dikembalikan semula kepada kedua-dua negeri ini.
“Kenapa baru sekarang, Tun Mahathir 22 tahun memerintah tetapi sepanjang tempoh itu apa yang berlaku, hanya menganaktirikan Sabah dan Sarawak,” katanya.
Dari segi pendidikan, katanya kerajaan BN menyediakan bilion ringgit bagi melaksanakan projek baharu dan naik taraf sekolah daif selain memastikan 90 peratus anak Sabah mengajar di negeri ini juga telah ditunaikan kerajaan.
“Malahan pembangunan termasuk Lebuh Raya Pan Borneo (dilaksanakan kerajaan BN) merupakan pencetus perubahan positif ekonomi dan sosial penduduk di kawasan luar bandar” katanya.