Penduduk bersyukur tiada cedera, maut dalam gempa bumi
KUNDASANG: Penduduk kampung di kaki Gunung Kinabalu bersyukur tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan susulan gempa bumi yang melanda Ranau malam Khamis.
Malah, rata-rata mereka berpendapat gempa bumi itu tidak mungkin akan membawa sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda seperti yang berlaku pada 5 Jun 2015, yang meragut 18 nyawa dan menyebabkan kerosakan pada bangunan serta infrastruktur.
Khajili Sumail, 44, dari Kampung Mesilou di sini berkata gegaran malam tadi tidak sekuat yang berlaku hampir tiga tahun lepas, namun, tindakan utama penduduk kampung ialah berkumpul di sebatang jalan dan memantau sungai di kampung itu.
“Memang kami rasa takut dan cemas, tetapi kami sudah merasa gegaran yang lebih kuat lagi pada 2015. Jadi, kami telah bersedia.
“Kami memantau sungai agar tiada batu yang runtuh dari gunung ke Sungai Mesilou dan menyekat aliran sungai, bagaimanapun ada runtuhan batu dari gunung ke sungai berdasarkanbaubelerang,”kata anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) itu kepada Bernama ketika ditemui di kampung itu pada Jumaat.
Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter menggegarkan Ranau pukul 9.06 malam Khamis.
Pemilik sebuah inap desa di kampung itu Sanoman Masidin, 47, berkata beliau bertindak menghubungi seorang daripada tetamu inap desanya D’s Homestay Mesilou dan memastikan tetamunya itu dalam keadaan selamat.
Katanya, tetamunya Nurul Syahida Mahamud, 33, dan keluarga hampir mahu meninggalkan inap desa itu selepas merasai gegaran, tetapi berjaya dipujuk oleh Sanoman.
“Saya menenangkan mereka dan memberitahu gegaran biasa berlaku di Kundasang dan beliau serta keluarga terus bermalam di inap desa saya sehingga hari ini,” katanya, sambil menambah inap desa yang merupakan dua unit rumah itu tidak mengalami kerosakan teruk.
Nurul Syahida mengakui keluarganya tergerak untuk kembali ke Kota Kinabalu susulan gempa bumi itu.
Kakitangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah yang berasal dari Terengganu itu berkata hasrat keluarganya untuk ke Sandakan pagi ini pastinya batal jika beliau dan keluarga kembali ke Kota Kinabalu malam Jumaat.
Nurul Syahida turut memberitahu terdengar bunyi batu jatuh seperti bergolek dari arah gunung, tetapi tidak sehingga boleh menyebabkan kerosakan atau kecederaan.
Beliau berkata beberapa gegaran susulan turut dirasai, namun tidak sekuat yang pertama. -Bernama