Utusan Borneo (Sabah)

Hantar memorandum mohon subsidi pasang AIS

- Oleh NOORASVILL­A MUHAMMA

SANDAKAN: Hanya 33 daripada 185 kapal nelayan di daerah ini sudah memasang Sistem Pengesanan Otomatik (AIS) dan 69 pula memasang pemantauan melalui sistem satelit (IVMS).

Sehubungan itu, persatuan nelayan di negeri ini disaran menyerahka­n memorandum kepada pihak kerajaan bagi permohonan subsidi memasang AIS pada kapal nelayan.

Komander Kawasan Keselamata­n Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) DCP Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya meminta para pengerusi persatuan nelayan untuk menghantar memorandum itu kepadanya dan kemudian akan dihantar kepada pihak atasan bagi cadangan permohonan berkenaan.

Sebelum ini, semua kapal nelayan yang ada di pantai timur Sabah sudah disaran memasang AIS. Ia amat penting termasuk merujuk soal keselamata­n.

“Pihak Esscom memerlukan sistem itu dipasang di bot-bot nelayan bagi memudahkan pasukan keselamata­n memantau sekiranya berlaku sebarang kecemasan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Pertemuan dan Dialog Esscom Bersama Pengusaha Perikanan Daerah Sandakan di Dewan Pandu Puteri Sri Taman di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Esscom Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan, Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin dan Naib Presiden Pengerusi LDP Datuk Lim Ming Ho.

Mengenai aduan nelayan semasa sesi dialog itu, beliau berkata saranan dan permasalah­an yang dikumpul akan diteliti oleh pihaknya.

Dalam perkembang­an sama, beliau mahu nelayan dan masyarakat agar terus menjadi mata dan telinga dalam menyalurka­n maklumat berhubung kejadian tidak diingini khasnya di perairan bagi tindakan lanjut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia