Utusan Borneo (Sabah)

Reka bentuk lebih baik, produk lebih inovatif jadi ciri utama MIFF

-

KUALA LUMPUR: Industri perabot sentiasa mencari idea reka bentuk baharu, dan produk yang lebih inovatif yang kini menjadi ciri utama Pameran Perabot Antarabang­sa Malaysia (MIFF).

Pengurus Besar MIFF, Karen Goi berkata langkah ini menjadikan­nya amat menarik kepada pembeli.

Oleh itu, Pertanding­an Reka Bentuk Perabot (FDC) 2018 telah membantu mendorong kreativiti yang lebih besar, selain menambah nilai kepada MIFF.

Ong Sze Xian, 22, pelajar First City University College, memenangi hadiah utama dalam FDC kali ini, bagi reka bentuknya yang dinamakan FLOAT, sebuah unit rak yang sesuai untuk manamana ruang.

Pengeluar tempatan berminat untuk bekerjasam­a bagi reka bentuk beliau itu, bagaimanap­un, beliau belum membuat keputusan.

“Saya masih memikirkan­nya (kerjasama itu), kerana saya mahu menumpukan kepada tahun akhir pengajian saya,” katanya.

Menyertai FDC untuk tahun kedua berturut-turut, Ong menerima cek bernilai RM6,000, sebuah trofi dan sijil.

“Saya mendapat inspirasi bagi reka bentuk tersebut daripada struktur rangka panjat di taman permainan,” katanya kepada Bernama di luar majlis penyampaia­n hadiah di sini kelmarin.

Tempat kedua adalah Sharon Wong Sik Dang, 27, pelajar pascasiswa­zah dari Universiti Teknologi Malaysia bagi reka bentuk LOLLIPOPS WORLD, satu set rak pakaian berwarna-warni dan dua meja sisi.

Tempat ketiga dimenangi oleh Tan Sin Yin, seorang ibu yang bekerja berusia 30 tahun, dengan reka bentuknya, LIFE, terdiri daripada satu unit kabinet dan mendapat inspirasi daripada permainan video, Tetris.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia