Ambil tindakan terhadap pengusaha resort
KOTA BELUD: Pihak pengusaha resort di Pulau Mantanani digesa agar tidak membuang sampah secara sewenang-wenang ke kawasan tanah penduduk kampung kerana ia adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Seorang pemimpin masyarakat, Alilullah Sabti (gambar) berkata tindakan pengusaha resort membuang sampah ke kawasan tanah penduduk kampung bersempadan dengan resort berkenaan menjejaskan kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
Oleh itu, beliau mahukan agar pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pengusaha resort untuk mengatasi isu pembuangan sampah itu.
Katanya, isu pembuangan sampah dan masalah kebersihan itu sudah berlarutan sejak tahun lalu.
“Ini adalah kali kedua resort berkenaan membuang sampah di kawasan tanah kami. Sebelum ini, resort berkenaan membuang sisa kumbahan air dari dan tandas ke kawasan tanah kami,” katanya.
Menurutnya, sisa air limbah dari dapur yang dibuang terus tanpa sistem rawatan air limbah dan tidak mempunyai sistem perparitan yang sesuai menyebabkan bau busuk.
Sampah sarap yang tidak diurus akan mengundang kehadiran lalat dan tikus serta membawa penyakit dan boleh menyebabkan penyakit berjangkit kepada pelancong serta orang awam yang berdekatan.
Beliau sudah mengemukakan aduan kepada pihak Pejabat Daerah Kota Belud tetapi masih belum ada tindakan.
Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan telah menjalankan operasi ke atas premis pelancongan itu pada April tahun lepas.
Alilullah menggesa pihak berkaitan agar mengambil tindakan terhadap pengusaha resort yang tidak mempedulikan soal pembuangan sampah yang menjejaskan kawasan tanah penduduk kampung.