CIMB-Principal China Direct Opportunities Fund tawar akses terus ke Saham-China A
KUALA LUMPUR: CIMBPrincipal Asset Management Bhd melancarkan dana yang menumpukan kepada China, CIMB-Principal China Direct Opportunities Fund, di bawah lesen Pelabur Institusi Asing Layak Renminbinya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Munirah Khairuddin, dalam satu kenyataan berkata menerusi dana ini, pelabur Malaysia akan mempunyai akses terus kepada peluang sejagat yang belum dimanfaatkan sehingga sekarang, yang sebelum ini hanya boleh diakses oleh rakyat China.
Akses ke pasaran SahamChina A juga menyokong strategi pertumbuhan dan pempelbagaian CIMB-Principal yang akan meningkatkan keseluruhan keupayaan penasihat pelaburannya, katanya.
“Kami optimistik dengan permintaan daripada pelabur Malaysia dan kami yakin dapat mencapai sasaran saiz dana kami sebanyak AS$100 juta (AS$1 = RM3.91) dalam tahun pertama penubuhannya,” katanya.
CIMB-Principal adalah entiti pertama di Malaysia yang dianugerahkan lesen ini yang membolehkan ia melabur terus dalam pasaran Saham-China A, memberikannya kelebihan utama untuk meningkatkan nilai pelanggannya di samping mengukuhkan kedudukan penerajunya dalam industri pengurusan aset, di Malaysia dan juga peringkat serantau.
Dana itu bertujuan menyediakan peningkatan modal dalam tempoh jangka sederhana hingga jangka panjang dan akan melabur minimum daripada 70 peratus nilai aset bersihnya dalam Saham-China A menumpukan terutamanya kepada syarikat permodalan kecil dan sederhana dengan potensi pertumbuhan yang baik, manakala baki 30 peratus daripada nilai aset bersihnya akan dilabur dalam aset cair.
Ia diuruskan bersama oleh CCB Principal Asset Management Co Ltd, satu daripada firma pengurusan aset paling pantas berkem- bang di China – disokong oleh China Construction Bank, kumpulan kewangan prinsipal berpangkalan di Amerika Syarikat dan China Huadian Capital Holdings Co Ltd – dengan aset di bawah pengurusan sebanyak AS$207 bilion sehingga Disember 2017.
Penanda aras bagi dana itu ialah Shanghai Shenzhen CSI 500 Index, yang terdiri daripada beberapa syarikat kecil dan sederhana paling pantas berkembang dengan potensi menjadi pemain global.
Dana itu menawarkan unit dalam tiga kelas mata wang iaitu ringgit, dolar Singapura dan dolar AS.