Bengkel Pembangunan Jati Diri Pengetua dan Felo Kolej Kediaman 2018
KOTA KINABALU: Majlis Pengetua-Pengetua Kolej Kediaman UMS (Mapek) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar menganjurkan Bengkel Pembangunan Jati Diri Pengetua dan Felo Kolej Kediaman 2018 bertempat di Beringgis Beach Resort dan SPA pada 9-10 Mac 2018.
Seramai 41 orang menyertai bengkel itu yang terdiri daripada pengetua, timbalan pengetua, felo dan Yang Dipertua Jakmas setiap Kolej Kediaman, selain tiga orang dari Majlis Timbalan Dekan.
Sebanyak enam topik dibentang dan dibincangkan dalam bengkel itu yang akan dijadikan sebagai garis panduan, prosedur operasi standard (SOP) yang digunapakai oleh semua Kolej Kediaman dalam mempertingkat dan memperkasakan struktur serta jatidiri pengetua dan felo.
Bengkel selama dua hari ini dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor HEPA Prof Datuk Dr Ismail Ali.
Dalam ucapan perasmian, beliau berkata kepimpinan dan sahsiah lebih tertumpu di kolej kediaman.
Sehubungan itu, pengetua dan felo serta kakitangan pentadbiran kolej kediaman perlu memantapkan jati diri masing-masing bagi memastikan kebajikan pelajar di kolej terpelihara.
“Melalui pengisian bengkel yang melibatkan pengetua, felo dan Majlis Timbalan Dekan akan dapat memberikan pencerahan tentang cara bagaimana satu-satu permasalahan di kolej kediaman dapat ditangani secara tersusun dan profesional serta berupaya membentuk jalinan kerjasama menang-menang dan saling membantu antara kedua belah pihak,” katanya.
Dr Syahruddin Hj Awang Ahmad selaku penyelaras program itu merumuskan bahawa bengkel berkenaan mendapat banyak input yang baik melibatkan pandangan daripada semua pihak termasuk pelajar sebagai pelanggan.
Daripada enam resolusi yang bakal digarap dalam bentuk pelan tindakan dan SOP, kesemuanya mencakupi semua aspek penting yang boleh direalisasikan dalam bentuk yang jelas dan boleh diaplikasikan di semua peringkat pengurusan hal ehwal pelajar di universiti itu.