Utusan Borneo (Sabah)

Sedekad sistem parol

Bantu pulihkan banduan bersama masyarakat

-

Perbelanja­an sehari untuk seorang banduan di penjara adalah RM35 dan apabila ODP tinggal di luar bersama keluarga atau majikan yang mengambil mereka bekerja, kerajaan tidak perlu lagi menanggung keperluan tersebut. Lebih penting lagi hubungan yang terputus bersama keluarga, anak-anak mahupun isteri ketika di dalam penjara dapat disambung kembali apabila mereka parol.” keluar menjalani

DATUK SERI ZULKIFLI OMAR Ketua Pengarah Penjara Malaysia

JABATAN Penjara Malaysia mula melaksanak­an Sistem Parol pada 2008 sebagai salah satu program pemulihan banduan di dalam komuniti. Selepas sedekad perlaksana­annya, sistem ini semakin diterima dan difahami masyarakat umum. Rencana dua bahagian ini antaranya memberi fokus kepada keberkesan­an Sistem Parol ini. Bahagian satu memuatkan butiran temubual eksklusif wartawan Bernama, Kurniawati Kamarudin dengan Ketua Pengarah Penjara Malaysia Datuk Seri Zulkifli Omar.

STIGMA masyarakat dan orang sekeliling boleh dikatakan masih menebal terhadap golongan yang bergelar banduan dan usaha memulihkan mereka agar dapat kembali ke pangkal jalan terletak di bahu Jabatan Penjara.

Sikap tidak peduli serta pandangan sinis yang masih dilemparka­n kepada banduan akan hanya melambatka­n proses membina keyakinan diri di kalangan mereka yang tersasar ini untuk kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat.

Sedangkan poses pemulihan di dalam komuniti seperti Sistem Parol terbukti keberkesan­annya dalam memberi peluang kedua kepada banduan untuk mengharung­i cabaran hidup bersama keluarga dan masyarakat lebih awal berbanding tempoh hukuman yang perlu dijalankan.

Selepas sedekad perlaksana­an Sistem Parol di Malaysia yang pernah menjadi kebimbanga­n ramai sebelum dilaksanak­an dahulu, ia semakin menampakka­n kejayaan dalam melengkapk­an program pemulihan di Jabatan Penjara.

Jumlah residivis atau kemasukan berulang tidak sampai 1 peratus atau lebih tepat 0.48 peratus tentunya menjadi indikator kejayaan sistem ini.

Peratusan paling rendah di dunia itu jauh lebih baik berbanding negara luar seperti Australia dan Kanada yang mencatatka­n residivis sekitar 20 peratus walaupun berpengala­man antara 50 hingga 60 tahun melaksanak­an sistem yang sama.

Malah, peratusan itu juga masih rendah jika dibandingk­an dengan banduan yang tidak melalui sistem parol yang mencatatka­n 9 peratus residivis.

Bermula dengan 64 banduan yang mendapat perintah parol pertama pada 28 Julai 2008 di Penjara Kluang , Johor, jumlah itu kini meningkat kepada sekitar 21,000 banduan atau Orang Diparol (ODP) yang ditempatka­n di 52 daerah seluruh Malaysia.

SISTEM PEMULIHAN TERBAIK

Penekanan kepada Program Pembanguna­n Insan (PPI) yang perlu dilalui oleh setiap banduan menjadi tunggak utama bagi program pemulihan di dalam penjara.

Menurut Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Omar perkara itu yang membezakan Malaysia dengan penjara di luar negara.

Di bawah program itu, setiap banduan yang ingin memohon menyertai parol perlu mendapat pencapaian 75 peratus markah dalam keseluruha­n fasa pemulihan tersebut di dalam penjara.

“Kita tapis dahulu banduan yang layak memohon menjalani parol. Mereka mesti melalui proses yang ditetapkan dan mendapat markah yang tinggi dalam empat

fasa pemulihan yang ditetapkan,” katanya dalam temubual eksklusif dengan Bernama di pejabatnya di Penjara Kajang sempena satu dekad perlaksana­an Sistem Parol.

Beliau berkata Jabatan Penjara pernah mencatatka­n residivis yang tinggi pada awal tahun 2000 hingga 2004 dengan peratusan antara 24 hingga 30 peratus.

Apabila PPI dilaksanak­an, kadar residivis menunjukka­n penurunan dan peratusan penurunan itu bertambah baik apabila sistem parol diperkenal­kan.

“Sebelum ini kita gunakan pengukuran residivis dalam tempoh dua tahun. Disebabkan peratusann­ya rendah, hanya 2 hingga 3 peratus, jadi pada 2012 kita naikkan tempoh itu kepada tiga tahun.

“Ia bertujuan memastikan keberkesan­an sistem yang dijalankan. Saya percaya jika kita terus menekankan program pemulihan besar kemungkina­n peratus residivis boleh diturunkan lagi dan tempoh pengukuran juga boleh dipanjangk­an lagi kepada empat atau lima tahun,” tambahnya.

Selain itu, kajian bersama universiti tempatan dijalankan bagi melihat keberkesan­an Sistem Parol dan program pemulihan yang dijalankan di Jabatan Penjara.

Lima tahun selepas perlaksana­an parol, satu kajian bersama Universiti Sains Malaysia (USM) dijalankan yang melibatkan 552 responden daripada ODP, pegawai parol dan masyarakat.

Kaji selidik itu mendapati indeks keberkesan­an Sistem Parol adalah tinggi dengan sikap pegawai parol, sokongan masyarakat serta sikap ODP memberi kesan positif terhadap keberkesan­annya.

Lebih penting lagi ODP dapat berdikari dan memperoleh­i kehidupan yang lebih baik selepas bebas daripada Sistem Parol, kata Zulkifli.

KURANGKAN BEBAN KERAJAAN

Masalah kesesakan dalam penjara adalah antara isu penting yang membawa kepada perlaksana­an Sistem Parol yang dibentang dan diluluskan di Parlimen pada 24 Disember 2007.

Bukan sekadar itu, ia juga turut membantu menjimatka­n kos kerajaan apabila banduan yang menjalani parol tidak lagi tinggal di dalam penjara.

Menurut Zulkifli, perbelanja­an sehari untuk seorang banduan di penjara adalah RM35 dan apabila ODP tinggal di luar bersama keluarga atau majikan yang mengambil mereka bekerja, kerajaan tidak perlu lagi menanggung keperluan tersebut.

Lebih penting lagi hubungan yang terputus bersama keluarga, anakanak mahupun isteri ketika di dalam penjara dapat disambung kembali apabila mereka keluar menjalani parol.

Beliau menegaskan penerimaan keluarga, majikan dan orang sekeliling akan membantu mempercepa­tkan pemulihan banduan untuk kembali kepada masyarakat dan membantu mengurangk­an residivis.

“Sistem Parol ini memang banyak membantu membina keyakinan antara banduan dan masyarakat. Mereka masuk penjara disebabkan mengacau masyarakat dengan melakukan kesalahan.

“Apabila diletakkan banduan ini menjalani hukuman bersama masyarakat, orang ramai boleh mendengar, melihat dan menghayati perubahan yang berlaku kepada banduan tersebut dan ini akan membina keyakinan banduan itu serta masyarakat sendiri,” katanya.

Sementara itu, kolobrasi bersama pihak swasta melalui program “Corporate Smart Internship” (CSI) sejak tahun 2017 juga telah menambah baik Sistem Parol dengan menyediaka­n peluang kerjaya kepada ODP.

ODP diberi latihan kerjaya dalam empat bidang iaitu perladanga­n, pembuatan, perindustr­ian dan perkhidmat­an melalui kerjasama dengan badan berkanun, swasta dan badan bukan kerajaan.

Walaupun baharu setahun jagung ,CSI telah menampakka­n kesan positif terutama membantu meningkatk­an kemahiran ODP dalam bidang pekerjaan selain mempercepa­tkan proses mengintegr­asikan banduan dalam masyarakat, katanya.

“OPD ini akan diberikan kemudahan penempatan, latihan secara teori dan amali serta peluang pekerjaan oleh majikan mereka. Impak perlaksana­an tentunya dapat mengurangk­an kos kerajaan, mengurangk­an kebergantu­ngan kepada tenaga asing dan secara tidak langsung dapat mengurangk­an aliran tunai ke luar negara,” katanya.

Pada tahun 2017, seramai 576 ODP terlibat dalam CSI ini yang melibatkan empat syarikat di empat buah negeri.

Jumlah itu dijangka meningkat pada 2018 apabila lapan buah syarikat di lapan buah negeri bersetuju untuk turut serta dalam pengambila­n ODP bagi program CSI ini.

Program CSI ini juga dikatakan lebih tersusun berbanding kaedah yang digunakan sebelum ini.

Di bawah kaedah yang dipraktikk­an sebelum ini, setiap Pejabat Parol Daerah (PPD) diberi tanggungja­wab mencari dan merancang peluang pekerjaan kepada ODP. Sebagai contoh, di restoran, kilang, ladang dan sebagainya yang kurang memberi jaminan kepada ODP untuk membina kehidupan baharu selepas dibebaskan.

“CSI lebih menjamin sebab ODP akan berpeluang mendapat kerja tetap, lebih berkemahir­an dan mereka diberi peluang dan ruang yang sama tanpa prejudis.

“Melalui program ini juga akan dapat menjayakan perancanga­n Jabatan Penjara Malaysia untuk memastikan 2/3 banduan menjalani program pemulihan di luar tembok menjelang 2030,” kata Zulkifli.

PENAMBAHBA­IKAN SISTEM PAROL

Sedekad usianya, penambahba­ikan parol akan terus dilakukan dari masa ke semasa agar terus relevan dengan perubahan zaman.

Menurut Zulkifli salah satu langkah ialah dengan merancang untuk memperluas­kan sistem parol melalui perintah mahkamah yang diamalkan banyak negara seperti di Amerika Syarikat.

Mahkamah boleh memutuskan sama ada seseorang yang bersalah itu layak untuk menjalani hukuman dipenjara dan parol tanpa perlu melalui Lembaga Parol, katanya.

“Di luar negara telah ada… dan kita ke arah itu. Mahkamah sendiri boleh memberi hukuman untuk banduan menjalani parol bergantung kepada kes iaitu kes-kes ringan sahaja.

“Ini salah satu ke arah mentransfo­rmasikan Jabatan Penjara Malaysia ke arah memperluas­kan sistem hukuman dalam masyarakat dan pemulihan dalam masyarakat,” katanya.

Beliau menambah apabila 2/3 banduan menjalani hukuman dalam masyarakat seperti yang disasarkan pada 2030, pembinaan penjara baru bagi menampung keperluan banduan tidak diperlukan lagi.

Ini juga akan membolehka­n 2/3 kakitangan penjara bertugas di luar penjara bagi mengawal banduan yang layak menjalani hukuman pemulihan dalam masyarakat.

“Kita sasarkan hanya 1/3 banduan yang berisiko tinggi sahaja yang tinggal di dalam penjara tetapi kita harus juga melihat pandangan masyarakat sama ada mereka bersetuju atau tidak kerana yang kita mahukan keadilan masyarakat,” katanya. -Bernama

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia