Kecualikan media arus perdana daripada tindakan
KOTA KINABALU: Media arus perdana perlu dikecualikan daripada tindakan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018.
Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Muguntan Vanar berkata, pihaknya percaya cadangan RUU berkenaan ditujukan khusus kepada pihak yang sengaja membuat dan menyebarkan berita palsu dalam media sosial.
Bagaimanapun jelasnya, ia turut memberi implikasi yang boleh menyekat media arus perdana.
Menurutnya, media arus perdana tertakluk kepada pelbagai peraturan, garis panduan dan undang-undang termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi dan juga Akta Hasutan.
“Terdapat juga Akta Komunikasi dan Multimedia untuk memantau masalah dan isu berita palsu.
“Sehubungan itu, kami percaya media arus perdana perlu dikecualikan daripada tindakan di bawah undangundang berita palsu kerana ia boleh terus menghalang media arus perdana.
“Isu berita palsu adalah masalah yang lebih menjurus kepada media sosial dan sebarang undang-undang harus ditujukan terus kepada portal yang berkaitan dan bukannya membabitkan media cetak,” katanya di sini pada Ahad.
Muguntan berkata demikian bagi mengulas cadangan RUU Antiberita Tidak Benar 2018 yang dibentangkan di Parlimen minggu lepas.
Menurutnya, demokrasi wujud atas dasar perkumpulan idea. Justeru, sesuatu wacana, sama ada spekulasi, ramalan, komen atau pendapat sepatutnya dibenarkan atas nama demokrasi yang berkembang maju.
“Penerbitan suratkhabar adalah refleksi sama ada baiknya sesebuah pekan, bandar mahupun negara.
“Jika Malaysia mahu kekal relevan dalam dunia yang lebih luas, ia seharusnya tidak menghalang perkembangan idea-idea termasuklah dalam media arus perdana,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menganggap ia akan membawa kredibiliti kepada industri media dan kerajaan yang mana mula menjadi isu sejak kewujudan internet.