Warga APM disaran beri perkhidmatan terbaik
LABUAN: Warga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) disaran memberi perkhidmatan yang terbaik dalam menyumbang bakti kepada masyarakat.
Timbalan Pengarah APM Negeri Wilayah Persekutuan Lt Kol (PA) Mohd Zahri Abdul Aziz berkata, warga APM perlu mengekalkan kesiapsiagaan pada tahap tertinggi.
Selain itu katanya, setiap anggota APM hendaklah sentiasa peka terhadap apa juga kemungkinan bencana atau kejadian yang melanda.
Menurutnya, usaha itu bagi memartabatkan APM ke arah sebuah organisasi berprestasi tinggi, diberkati dan mencapai matlamatnya untuk terus memberi perkhidmatan cemerlang.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Perhimpunan Bulanan (APM) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di sini.
“Selaku sekretariat pengurusan bencana dan keselamatan di Labuan, warga APM perlu memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam menyumbang bakti dengan seikhlas hati bagi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.
Pada majlis itu, Mohd Zahri turut menyampaikan sumbangan Dana Kasih Sayang Pertahanan Awam (Daspa) kepada ahli APM yang terpilih Lans Koperal (PA) Mohamad Abdullah.
Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Pegawai Bersekutu Pasukan Siswa APM Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Lt Kol (PA) Profesor Madya Dr Norazah Mohd Suki dan Pengarah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Labuan Abdullah Muhamad.
Beberapa bentuk penghargaan diberikan kepada warga APM Labuan yang cemerlang termasuklah Anugerah Pekerja Terbaik Bulanan, Sijil Penghargaan kepada Anggota Skim Keselamatan dan Pertahanan, Anggota Skim Gunasama Perkeranian, Anggota Sukarela Tugas Pejabat, Anggota Sukarela Tugas Operasi dan Anggota Sukarela Pertahanan Awam.
Turut hadir, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Wilayah Persekutuan Labuan Mejar (PA) Zico Sual.