Rumpai laut Semporna berkualiti
Akan dicadang sebagai ‘Super Food’ Malaysia
SEMPORNA: Rumpai laut dari daerah Semporna akan dicadangkan sebagai‘ S u per Food’ Malaysia kepada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO).
Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek cadangan itu bagi mengangkat hasil laut yang mempunyai nilai khasiat tinggi itu sebagai produk bertaraf antarabangsa.
“Rumpai laut salah satu ‘Super Food’ yang dihasilkan Malaysia adalah kerana kandungan nutrisi cukup tinggi, tinggi garam galian, vitamin, iodin dan peranannya sebagai bahan asas termasuk untuk membuat jeli dan keropok, di samping untuk tujuan farmaseutikal kerana rumpai laut mempunyai nilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Gelombang Nelayan Nasional di Dataran Regatta Lepa, dekat sini, pada Sabtu.
Selain rumpai laut, kerajaan turut mahu menjadikan madu kelulut yang semakin berkembang perusahaannya sebagai ‘Super Food’.
Beliau turut meluluskan peruntukan RM500,000 kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan pemimpin tempatan.
Dalam pada itu Shabery menggesa dan mengarahkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengambil tindakan khusus untuk menyegerakan permohonan pembangunan jeti dan kompleks nelayan di Semporna kerana ianya wajar demi rakyat.
Pada perkembangan lain, Shabery yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno mengingatkan rakyat agar tidak mementingkan sayang kepada calon pemimpin hingga memilihnya ketika mengundi di Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14).
“Yang kuat itu bukan individu sebaliknya parti. Sebab itu PRU kali ini jangan salah pangkah,” katanya.
Pada program itu, kira-kira 5,000 komuniti nelayan dan 500 bot berkumpul di tapak regatta bagi memeriahkan perasmian majlis itu.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senallang Datuk Seri Nasir Sakaran, Pembantu Menteri Kewangan Negeri meragkap Adun Bugaya Datuk Ramlee Marahaban.