JKKK nadi pembangunan masyarakat
64 hadiri Kursus Pengurusan dan Pentadbiran JKKK/JKDB Membakut anjuran KPLB
BEAUFORT: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) merupakan nadi kepada aktiviti pembangunan masyarakat di peringkat kampung yang bertindak sebagai penggerak, penyelaras dan badan perantara dua hala antara rakyat dan kerajaan.
Menteri Pembangunan Luar bandar (KPLB) Datuk Seri Panglima Radin Malleh berkata, peranan JKKK dan JKDB amat penting untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pelbagai perkhidmatan yang disediakan bagi mewujudkan masyarakat yang berbudaya penyayang dan lengkap dengan keperluan asas.
Katanya, kepimpinan JKKK/ JKDB perlu menyediakan pelan tindakan kemajuan kampung, berpandukan keperluan penduduk dengan memberi keutamaan kepada pelaksanaan program pemantapan diri dan peningkatan keupayaan untuk berdikari.
Justeru katanya, bagi mempastikan proses perancangan program atau projek kesejahteraan rakyat dapat diatur dengan baik, pihak JKKK/JKDB memerlukan input data kampung yang lengkap.
“Ini penting agar setiap perancangan aktiviti JKKK/JKDB menepati sasaran dan selaras dengan keperluan penduduk setempat sama ada dari aspek keselamatan, penyaluran bantuan, pengawalan wabak penyakit atau aspek perpaduan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang disampaikan oleh Setiausaha Rendah (Sosial Ekonomi) KPLB Serbini Jadin pada Majlis Penutupan Kursus Pengurusan dan Pentadbiran JKKK/JKDB Membakut, di sini.
Kursus selama tiga hari itu disertai 64 orang terdiri pengerusi, timbalan pengerusi dan setiausaha JKKK/JKDB, anjuran KPLB Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Kecil Membakut dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Membakut.
Menurut Radin, pada umumnya prestasi perkhidmatan JKKK dan JKDB di negeri ini telah meningkat baik dan berjaya menyampaikan kehendak masyarakat kepada kerajaan berhubung keperluan asas seperti pembinaan jalan raya, bekalan air dan elektrik, sekolah, rumah ibadat dan sebagainya.
Namun begitu katanya, masih terdapat sebahagian JKKK dan JKDB yang kurang memahami dengan jelas mengenai peranan, tugas dan tanggungjawab institusi JKKK/JKDB yang sebenarnya. Menyedari hakikat itu katanya, pihak KPLB akan terus melaksanakan Kursus Pengurusan dan Pentadbiran JKKK/JKDB sebagai program latihan induksi yang wajib dihadiri oleh semua pengerusi dan setiausaha yang baru dilantik.
“Ia agar mereka dapat memahami dengan lebih baik mengenai peranan, bidang tugas dan tanggungjawab JKKK/JKDB,” jelasnya.
Beliau berharap kursus berkenaan dapat dijadikan sebagai medan transformasi ilmu dan sesi percambahan fikiran untuk berkongsi pengalaman masingmasing mengenai urus tadbir kampung dengan lebih baik dan berkesan.
Jelasnya, pendedahan dan ilmu pengetahuan yang diperolehi melalui kursus kepimpinan itu diharap dapat diaplikasikan sepenuhnya untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan JKKK/ JKDB di kawasan Membakut selaras dengan hasrat dan aspirasi penduduk setempat.
Radin yang juga Adun Melalap menjelaskan, dalam usaha membangunkan komuniti, warga belia hendaklah diberi peluang untuk turut sama terlibat dalam pentadbiran kampung kerana golongan belia merupakan tonggak utama sesebuah kampung pada masa hadapan.
Menurutnya, hubungan erat dan kerjasama baik antara pemimpin sedia ada dengan pemimpin belia akan mencetuskan pelbagai idea bernas yang boleh menaikkan lagi prestasi dan imej kemajuan kampung masing-masing selaras dengan tonggak Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang menekankan penglibatan belia dalam mencetus inspirasi, inovatif dan kreatif dalam pembentukan masa depan negara.
Beliau berkata, tahap kesejahteraan hidup rakyat setempat amat berkait rapat dengan aspek keselamatan yang ada dan jika rakyat merasakan selamat maka tahap kesejahteraan hidup juga adalah baik.
Justeru, beliau menyeru barisan kepimpinan JKKK/ JKDB memainkan peranan lebih aktif bagi mempastikan tahap keselamatan kawasan masingmasing berada pada tahap yang terbaik.
Kursus itu bertujuan meningkatkan kefahaman mengenai fungsi, peranan dan tanggungjawab badan JKKK/ JKDB, meningkatkan kefahaman mengenai sistem pentadbiran daerah dan pengendalian mesyuarat dengan baik dan berkesan serta memberi pengetahuan dan kefahaman mengenai isu-isu keselamatan dan kesejahteraan kampung.
Turut hadir ialah Ketua Penolong Setiausaha (LPM) KPLB yang juga penyelaras kursus Majaran Osman, Penolong Pegawai Daerah Kecil Membakut Haji Sanudin Ismail dan Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Membakut Haji Pg Hamzah Haji Pg Simpol.