Titik berat perkhidmatan pendidikan awal dan penjagaan kanak-kanak
SIMUNJAN: Kepentingan perkhidmatan pendidikan awal dan penjagaan kanak-kanak perlu dititikberatkan terutama di kawasan luar bandar.
Menerusi penyampaian maklumat secara berkesan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia perlu dilaksanakan secara berterusan selaras dengan perubahan isu semasa dan masyarakat sekeliling.
“Ini penting agar masyarakat lebih memahami dan mendapat manfaat daripada pelaksanaan perkhidmatan menerusi program ‘outreach’,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Program Lan Berambeh SeDidik Mutiara Sageng di Dewan Mesra Simunjan di sini, pada Sabtu.
Teks ucapan beliau dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simunjan, Awla Dris.
Beliau menyambut baik penganjuran program yang secara tidak langsung dapat menyebar luas perkhidmatan pendidikan awal dan penjagaan kanak-kanak.
Menurut Ahli Parlimen Batang Sadong itu, dasar dan program SeDidik merupakan satu strategi turun padang dan dekat di hati rakyat.
Malah, ia turut meninggalkan impak kepada masyarakat khususnya golongan sasar yang memerlukan.
Katanya, hal ini memerlukan kerjasama bersama ahli komuniti dan bukan peranan SeDidik semata-mata.
“Saya menyeru supaya gandingan kerjasama antara SeDidik, jabatan kerajaan, pemimpin masyarakat, sukarelawan serta komuniti setempat digembleng agar masyarakat di Kampung Sageng dan kampung-kampung sekitarnya dapat dibantu agar terus bersaing dalam arus perdana pembangunan,” katanya.