Mobile Apps Boot Camp mantapkan sistem penyampaian
SEMINAR
Mobile Apps Boot Camp Agensi Kerajaan Sabah yang diadakan di kampus INTAN Sabah, Kota Kinabalu, mampu memantapkan sistem saluran penyampaian perkhidmatan awam khususnya kepada rakyat negeri Sabah.
Penganjuran seminar empat hari itu yang juga kolaborasi bersama di antara MAMPU Sabah, INTAN Sabah dan Politeknik Kota Kinabalu merupakan tanda sokongan padu agensi-agensi kerajaan terhadap usaha transformasi perkhidmatan digital kerajaan dalam mempelbagaikan saluran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.
Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Nor Rizan Mohd Thani berkata, “Penganjuran boot camp ini merupakan satu platform terbaik bagi berkongsi idea dan pembelajaran secara
hands on training, untuk mempergiatkan lagi pembangunan aplikasi mudah alih kerajaan khususnya di Sabah,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Persekutuan Sabah Dr Jamaluddin Mohd Ali pada majlis perasmian penutup Mobile Apps Boot Camp Agensi Kerajaan Sabah di kampus INTAN Sabah pada Khamis.
Nor Rizan berkata, sinergi daripada boot camp berkenaan juga diharap dapat mencetuskan pelbagai idea dan meningkatkan kompetensi penjawat awam dalam pembangunan aplikasi mudah alih, yang dapat memberi manfaat dalam memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Bagi merealisasikan pembangunan kompetensi dalaman di agensi sektor awam dalam membangunkan mobile apps, boot camp ini dianjurkan sebagai salah satu usaha kerajaan bagi mendedahkan para peserta secara ‘hands on’ tentang perkara ini dan seterusnya dapat membangunkan mobile apps sekaligus memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan awam di agensi masing-masing kelak,” katanya.
Mengimbau sejarah perkembangan sistem penyampaian perkhidmatan awam, beliau berkata perkhidmatan kerajaan melalui telefon mudah alih telah diperkenalkan dengan inisiatif mySMS 15888 pada peringkat permulaan. Ia disusuli dengan inisiatif myGov Mobile pada tahun 2011, yang merangkumi perkhidmatan mySMS, myMMS, myUSSD, myPay dan myApp.
“Sehingga kini, sebanyak 396 agensi telah menggunakan gerbanggerbang di myGov Mobile dengan menyediakan lebih 4,000 perkhidmatan melalui telefon mudah alih,” katanya.
Menyedari perkembangan teknologi dan penggunaan telefon pintar, Nor Rizan berkata kerajaan kini sedang menambah bilangan sistem penyampaian perkhidmatan khususnya dengan pembangunan aplikasi-aplikasi mudah alih dan juga aplikasi pembayaran melalui telefon mudah alih, yang mana kesahihannya adalah lebih terjamin dan dipercayai.
Seminar yang julungkali diadakan di Sabah itu menyaksikan Politeknik Kota Kinabalu sebagai penyumbang tenaga pengajar sepanjang tempoh seminar, yang disertai seramai 30 orang terdiri penjawat awam yang terlibat secara langsung dalam pembangunan perisian di agensi masingmasing.
Antara agensi yang terlibat adalah Jabatan Kesihatan negeri Sabah, Jabatan Pendidikan negeri Sabah, Majlis Perbandaran Tawau, Jabatan Komputer Negeri Sabah, Politeknik Kota Kinabalu, Jabatan Tenaga Kerja dan MAMPU Sabah.
Turut hadir pada majlis itu, Pengarah MAMPU Sabah Dato’ Haji Mohd Shuhaili Mohd Taufek, Pengarah INTAN Sabah Samsul Dollah dan Ketua Unit Multimedia Politeknik Kota Kinabalu Julkifli Awang Besar selaku penceramah boot camp itu.