Utusan Borneo (Sabah)

Misi dua guru bawa tarian, dramatari etnik Sarawak ke KLCC

-

SEBAIK loceng sekolah berbunyi pada 1 tengah hari menandakan sesi persekolah­an tamat, murid perempuan tahun enam ini segera pulang ke rumah di Kampung Long Pilah untuk makan tengah hari sebelum bersiap untuk kembali ke dewan sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Long Pillah, Baram, Marudi.

Tepat 2 petang, Adeline Tijan Malang, mengetuai sembilan rakannya mengambil tempat masingmasi­ng bersedia untuk sesi latihan tarian tradisi masyarakat Bidayuh di dewan sekolah mereka itu.

Bercakap kepada Bernama guru pembimbing kumpulan yang dinamakan Ritma Tari itu, Mohamad Syukri Malek, 29, berkata ini rutin harian sepuluh pelajar Tahun Dua hingga Enam sekolah tersebut sebagai persediaan menyertai pertanding­an tarian sempena Festival Antarabang­sa Borneo di Suria KLCC pada 25 dan 26 Jun depan.

Guru muda kelahiran Batu Pahat Johor ini berkata kumpulan tersebut terpilih untuk bersaing bersama-sama penggiat seni dari sekolah menengah dan rendah seluruh Borneo pada pertanding­an anjuran Persatuan Warisan Sarawak Sabah Kuala Lumpur dan Selangor itu.

“Pada pertanding­an itu nanti, kami akan membuat dua jenis tarian iaitu tarian etnik Bidayuh yang dipanggil ‘Rejang Beuh’ dan persembaha­n kedua dramatari masyarakat Kayan bertajuk ‘Lagenda Bulu Tengon’.

“Bagaimanap­un impian membawa kumpulan ini menyertai pertanding­an paling jauh sejak ditubuhkan itu memerlukan perbelanja­an besar iaitu kira-kira RM9,000, merangkumi tiket penerbanga­n, makanan, pengangkut­an serta tempat tinggal sepanjang berada di Kuala Lumpur,” katanya yang sudah lima tahun menabur bakti di sekolah itu.

SK Long Pillah adalah sekolah pedalaman 3 yang mempunyai 75 pelajar masyarakat Kayan dan 12 guru, terletak kira-kira tiga jam perjalanan daripada Miri, iaitu sejam perjalanan menerusi jalan raya manakala bakinya terpaksa melalui jalan pembalakan.

Sejak ditubuhkan pada 2013, Mohamad Syukri bersama seorang rakan guru, Anthony Abas, 35, sudah membelanja­kan kirakira RM15,000 duit poket sendiri untuk menyediaka­n pakaian, aksesori, prop alat untuk kegunaan dan keperluan Kumpulan Ritma Tari bimbingan mereka.

Hasil bimbingan keduadua guru ini, kumpulan Ritma Tari yang menguasai pelbagai jenis tarian Melayu Asli serta semua tarian etnik Sarawak pernah memenangi pelbagai pertanding­an tarian peringkat Zon Baram Tengah, Daerah Baram dan Bahagian Miri.

Ketika ditanya sekiranya ada rancangan luar jangka jika ‘projek’ tersebut gagal, Cikgu Syukri menghela nafas panjang dan merenung jauh sambil berharap semoga ada pihak yang sudi menghulur sumbangan bagi merealisas­ikan impian murid-murid tersebut.

“Kalah atau menang perkara kedua, yang paling penting kemenjadia­n murid dan pengalaman untuk mereka menyertai pertanding­an di luar Sarawak…Semua murid tidak pernah ke Kuala Lumpur, jadi mereka sangat teruja, terharu terpilih dan bersemanga­t untuk menyertai pertanding­an ini.

“Namun sekiranya gagal mengumpul jumlah itu, saya dan cikgu Anthony akan tetap menjayakan rancangan ini. Sekarang kami sudah mengumpul kira-kira RM1,500, sekiranya jumlah sasaran tidak berjaya dicapai kami berdua akan gunakan simpanan masing-masing untuk menjayakan­nya,” kata guru Pendidikan Jasmani, Bahasa Melayu dan Matematik itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia