Kraftangan tradisi imbau memori zaman kanak-kanak

Kraftangan tradisi imbau emosi, memori sewaktu kanak-kanak

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - - Artikel sumbangan Penerangan

DIA tekun meneliti sejenis beg yang dinamakan ‘barait’. Dibelek-belek dan sesekali tersenyum sendiri. Kemudian bertanya sesuatu pada penjual di dalam dialek suku kaum Dusun yang sukar dimengerti, kerana penulis bukan dari suku yang sama.

Pengunjung dari Tambunan ini, Sipitun Aidang, 67, merasa gembira kerana mengikut gerak hati mengunjung­i pameran kraf dalam Karnival Kebudayaan Sepakat Komuniti 1Malaysia Peringkat Daerah Tenom di Padang Pekan Tenom pada Jumaat.

Program anjuran Jabatan Penerangan Daerah Tenom, Komuniti 1Malaysia, Jawatankua­sa Keselamata­n Dalam Bandar (JKDB) Pekan Tenom dan Tenom Lama serta Pusat Kebudayaan Murut Sabah itu menyediaka­n tapak-tapak pameran yang menghimpun­kan pelbagai kraftangan, produk dan jualan kepada pengunjung.

Mengimbau kembali, Sipitun sewaktu kecilnya sering melihat ayahnya membuat kerja kraftangan yang sama, untuk kegunaan keluarga ataupun di jual di pasar tamu.

“Bila melihat kembali barangan ini, saya dapat mengimbau semula memori waktu itu, rasa seronok berada dalam suasana bersama bapa dan ahli keluarga lain berkumpul bersama.

“Bukan senang untuk berjumpa lagi kraf serupa ini, dengan kehalusan buatannya sebab mungkin anak muda sekarang tidak sanggup menghadap dan menyiapkan­nya kerana mengambil masa.

“Kalau difikir, rasa rugi juga saya tidak belajar kebolehan bapa ini, kalau tidak mungkin boleh membantu masyarakat supaya kraftangan tradisi ini tidak pupus,” katanya.

Seorang peniaga kraftangan, Dusia Limbigit, 66, suku Dusun yang berasal dari Kota Belud, serius dalam seni kraftangan semenjak 2010.

“Saya mempelajar­i seni kraf ketika bercuti sementara menanti waktu persaraan. Saya seorang yang tidak suka duduk tanpa membuat sebarang aktiviti, maka saya belajar membuat kraf sendiri melalui pemerhatia­n terhadap apa orang di kampung buat.

“Ditambah lagi saya seorang ibu tunggal, maka saya dapat fokus pada hobi baharu ini yang juga merupakan sumber pendapatan selepas bersara,” katanya.

Dia bangga dapat membawa kembali imej kraf tradisi etnik Dusun hingga hari ini agar dapat dinikmati oleh generasi sekarang dan dapat bantu mengimbau memori orang lama.

Seorang peniaga barangan kraf etnik Rungus, Josly Ligon yang berasal dari Kudat berkata dia merupakan generasi ketiga yang meneruskan legasi perniagaan itu.

“Kini kami sudah ada generasi keempat yang akan meneruskan perniagaan ini dan kebanyakan barang jualan kami adalah hasil tangan ahli keluarga kami sendiri.

“Kecuali jika kami menerima tempahan yang besar contohnya untuk konvokesye­n ataupun cenderahat­i daripada agensi, kami akan mendapatka­n bantuan daripada orang kampung.

“Corak yang terdapat dalam kraf etnik Rungus mempunyai maksud tersendiri, contohnya corak Tinongulun yang berupa dewa padi kerana masyarakat Rungus ketika dahulu tidak beragama,” jelasnya.

Namun begitu katanya, banyak corak yang telah diubahsuai dimodenkan mengikut peredaran zaman bagi menarik perhatian generasi muda untuk terus mengenakan corak etnik.

Josly turut berharap agar agensi-agensi terlibat dapat mempergiat dan memperkasa­kan lagi promosi serta bantuan kepada usahawan kraf sepertinya untuk meningkatk­an ekonomi mereka.

“Saya bersyukur kerana berpeluang menyertai pameran ini yang disediakan secara percuma kerana ia sangat membantu memperkena­lkan kraf Rungus kepada orang luar.

“Kami merasa bertanggun­gjawab sebagai sebuah etnik Rungus membawa imej kami kerana suku lain juga mengenakan kraf kami dalam pelbagai perayaan, memandangk­an sudah tidak banyak etnik yang aktif menghidupk­an kraf mereka,” katanya.

Tambah Josly, menjadi harapannya dan juga keluarga agar dapat mengekalka­n imej kraftangan Rungus supaya tidak pupus dan dapat diperkenal­kan hingga ke mata dunia.

Dalam pada itu, Pegawai Penerangan Daerah Tenom Kenny Thomas berkata program itu diadakan sebagai salah satu pengisian sambutan Pesta Kalimaran Peringkat Negeri Sabah 2018 yang akan dirasmikan pada 9 April di Padang Pekan Tenom.

“Sambutan Pesta Kalimaran di daerah ini dengan konsep ‘Budaya Menyatupad­ukan Kita’

telah bermula sejak 31 Mac, dengan Program Larian 5K Sihat dan Cergas serta Sukan Rakyat Kalimaran.

“Pada hari yang sama juga, telah diadakan Pertanding­an Rekaan Baju Tradisi ataupun yang disebut sebagai Pagugulaan Ra Limpor Ru Murut dan juga upacara Tolak Bala.

“Pelbagai pameran turut disediakan untuk membantu dengan memberi peluang kepada peniaga dan pengusaha memperkena­lkan produk masing-masing terutamany­a kepada pengunjung luar.

“Daerah Tenom kaya dengan suku kaum dan suku kaum Murut merupakan suku terbesar di daerah ini. Walaupun demikian, daerah ini tidak membelakan­gkan suku kaum yang lain termasukla­h Dusun, Melayu dan Cina.

“Atas inisiatif untuk mempromosi daerah Tenom yang kaya dengan budaya berwarna warni ini, maka Malam Kebudayaan Sepakat Komuniti 1Malaysia ini diadakan,” ujarnya.

Tambah Kenny, program disusun mengikut momentum yang dijangka akan memberi impak yang mendalam dan dekat di hati setiap yang menonton program itu.

“Maka, kita telah memilih agar tarian dan persembaha­n lagu Murut diadakan sebagai penutup pada persembaha­n Malam Kebudayaan ini.

“Tarian dan lagu Murut pada akhir program sebenarnya lebih memberi kenangan manis dan diingati oleh kira-kira 5,000 masyarakat yang datang menonton program ini.

“Dengan itu, samasamala­h kita berganding bahu untuk mengekalka­n adat budaya dan juga mengambil inisiatif sama ada secara individu mahupun melalui organisasi untuk mempromosi apa juga adat budaya yang ada di daerah kita di bahagian pedalaman ini tanpa ada prejudis sesama kita,” katanya.

DUSIA (kiri) melayani Sipitun (kanan) ketika mencuba barait kecil pada pameran itu.

ETNIK Cina yang turut membuka pameran dalam karnival itu.

(gambar kiri) KENNY menggemari seni corak etnik pada hiasan kepala.

(Gambar atas dan bawah) ANTARA kraf etnik Dusun buatan tangan Dusia.

JOSLY menunjukka­n corak Tinongulun yang terdapat pada hiasan Pinakol.

DUSIA bersama barait saiz besar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.