Utusan Borneo (Sabah)

Barca menyamai rekod tanpa kalah paling lama dalam sejarah La Liga

-

MADRID, Sepanyol: Barcelona menyamai rekod paling lama tanpa kalah dalam sejarah La Liga Sepanyol apabila hatrik Lionel Messi membantu pendahulu liga itu menang 3-1 ke atas Leganes untuk rekod 38 perlawanan tanpa kalah dalam liga.

Barca akan cuba mengatasi rekod Real Sociedad, yang dicipta pada musim 1979/1980 apabila menanti Valencia hujung minggu ini, dengan skuad kendalian Ernesto Valverde itu kurang tujuh perlawanan untuk menjadi pasukan pertama dalam La Liga yang mengharung­i satu musim tanpa kalah.

Messi menjadi bintang di Nou Camp sekali lagi dengan hatrik untuk memastikan pasukannya memiliki kelebihan 12 mata berbanding pencabar terdekat, Atletico Madrid, yang bermain lewat menentang kelab jiran, Real Madrid.

“Rekod tanpa kalah ini tidak hanya dicapai musim ini tetapi juga pada musim lepas (di bawah kendalian bekas jurulatih) Luis Enrique,” kata Valverde.

“Ia rekod dikongsi bersama kerana ia di antara dua musim. Ia adalah sukar kerana hakikatnya ia rekod lama yang sudah bertahan sejak sekian lama.”

Valverde menurunkan skuad yang kuat walaupun akan beraksi pada perlawanan suku akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Roma pada hari Selasa, dengan Messi, Luis Suarez dan Philippe Coutinho diturunkan dalam kesebelasa­n utama.

Suarez mensia-siakan dua peluang terbaik untuk meletakkan Barca di hadapan sebelum Barca akhirnya membuka jaringan pada minit ke-27 menerusi satu tendangan percuma cantik Messi untuk gol liga ke-27 beliau musim ini.

Beliau menambah jaringan tidak lama selepas itu dari umpanan Coutinho.

Barca mengurangk­an rentak permainan selepas rehat, mungkin dengan perhatian kepada perlawanan kedua menentang Roma dan memberikan ruang kepada Leganes untuk cuba bangkit menerusi gol Nabil El Zhar tetapi kebangkita­n itu hanya sementara apabila Messi melengkapk­an hatrik tidak lama selepas itu dari umpanan Ousmane Dembele.

Pada perlawanan lain, harapan Sevilla untuk memburu kelayakan ke Eropah musim hadapan terjejas apabila tewas teruk 0-4 di Celta Vigo sementara Real Betis melonjak ke tangga kelima selepas mencipta kemenangan keempat berturut-turut apabila menewaskan Eibar 2-0 sementara Alaves hampir pasti mengesahka­n kedudukan mereka dalam La Liga pada musim hadapan selepas menewaskan Getafe 2-0. —

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia