Pemandu pacuan empat roda maut kemalangan

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh MOHD NAZIB MACPEE

LAHAD DATU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dipandu terbabas di Jalan Putatan, di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengahari itu, mangsa dikenali sebagai Abdul Hafiz Said, 24, meninggal dunia semasa dalam perjalanan menuju ke Hospital Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Hamzah Ahmad berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Ladang Sabahmas menuju ke Jalan POIC.

Bagaimanapun, sebaik melalui jalan berselekoh di lokasi kejadian, kenderaan mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan dan terbalik di dalam parit.

“Impak daripada kejadian itu, mangsa telah mengalami cedera parah di bahagian badan iaitu patah bahagian tulang rusuk kiri dan kanan serta mengalami pendarahan paru-paru dan hati,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan oleh Pegawai Penyiasat Trafik Insp Mohamad Kemil Rahmat.

KENDERAAN 4WD yang dinaiki mangsa terbalik dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Putatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.