MPS dinaik taraf jadi MBS bermula 1 Julai

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh SADDAM EDRIS

KOTA KINABALU: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dinaik taraf sebagai Majlis Bandaraya Sandakan (MBS) yang berkuatkuasa pada 1 Julai depan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor ketika mengumumkannya berkata proses menaik taraf berkenaan telah diputuskan oleh Kabinet baru-baru ini.

“Ada syarat tertentu ditetapkan sekiranya kita mahu menjadikan majlis perbandaran menjadi majlis bandaraya dan Sandakan telah memenuhi syarat itu.

"Justeru, dengan menaiktaraf ini, mereka akan memberi perkhidmatan lebih baik lagi kepada rakyat di sana," katanya ditemui selepas menyampaikan Ceramah bertajuk Pihak Berkuasa Tempatan: Tadbir Urus Baik anjuran Majlis Profesor Negara Chapter UMS siri keempat, di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata kerajaan akan mewujudkan Majlis Daerah Telupid yang dijangka beroperasi sebelum hujung tahun ini.

Katanya, usaha itu bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

"Sebelum ini, Telupid adalah di bawah jagaan Majlis Daerah Beluran dan jaraknya amat jauh.

“Jadi, kita bersetuju untuk mewujudkan Majlis Daerah Telupid bagi memudahkan lagi urusan pentadbiran dilakukan," katanya.

Sebelum ini, kerajaan turut meluluskan cadangan untuk mewujudkan Majlis Daerah Tongod yang sudah beroperasi sejak 1 Januari lepas.

Terdahulu ketika menyampaikan ceramah, Hajiji menjelaskan bahawa kementeriannya melalui Unit Tribunal Tuntutan Pembeli Perumahan berjaya menyelesaikan 90 peratus kes melibatkan masalah antara pembeli dan pemaju perumahan.

“Sejak penubuhan unit tribunal ini pada 2007, kita merekodkan lebih 1,400 aduan berkaitan masalah melibatkan jual beli rumah.

“Kitaberjayamenyelesaikan 90 peratus kes yang terlibat, manakala selebihnya masih dalam proses dan akan diselesaikan segera," jelasnya.

Terdahulu, hampir 300 peserta terdiri pelajar termasuk tenaga pengajar dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu hadir pada ceramah yang berlangsung selama tiga jam di Dewan Resital UMS.

Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Profesor Negara Chapter UMS Profesor Datuk Mohd Hamdan Adnan, Setiausaha Tetap KKTP Datuk Ginun Yangus serta Dekan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Profesor Dr Ismail Ibrahim.

PESERTA merakam gambar kenangan bersama tetamu kehormat selepas sesi ceramah itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.