Grandis diiktiraf Hotel Tanpa Sampah oleh DBKK

Grandis diiktiraf Hotel Tanpa Sampah oleh DBKK

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh ALFRED PETRUS

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sekali lagi memberi pengiktirafan Hotel Tanpa Sampah kepada Hotel Grandis dan Resort.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai berkata, pengiktirafan berkenaan adalah sebagai usaha DBKK menjadikan bandaraya ini bebas kutu sampah.

“Hasrat utama DBKK dalam melaksanakan kempen Anti Kutu Sampah adalah selaras dengan usaha kami untuk menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandaraya bebas kutu sampah.

“Melalui kempen ini, zonzon tanpa sampah diwujudkan satu persatu, dengan harapan kawasan tanpa sampah akan bertambah dan diperluaskan ke seluruh kawasan Bandaraya Kota Kinabalu.

“Ingin saya mengingatkan sekali lagi bahawa dengan pengiktirafan zon-zon tanpa sampah, bermakna tiada lagi sampah kelihatan dibuang di merata-rata tempat, melainkan ke dalam tong sampah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Semula Hotel Grandis dan Resort sebagai Hotel Tanpa Sampah di sini pada Isnin.

Katanya, sejak kempen itu dilancarkan pada 2008, sebanyak 203 premis tanpa sabah sudah diwujudkan dalam kawasan bandaraya dan sebanyak 45 penyertaan baharu dalam strategi Tiga B (Bawa Beg Bah).

Tambahnya, bagi menjayakan kempen itu juga, amalan ‘buang sampah dahulu, kemudian kutip’ hendaklah dikikis sama sekali.

“Oleh itu, dalam membudayakan kempen ini agar mudah difahami oleh masyarakat, DBKK menekankan konsep SAC iaitu berhenti membuang sampah merata-rata, menasihatkan kepada yang membuang sampah dan kutip apabila ternampak sampah.

“Kerjasama seperti ini sudah pasti akan membantu DBKK memperkenalkan lagi Kota Kinabalu sebagai bandaraya peranginan semula jadi, di samping membantu mempromosikan kempen Anti Kutu Sampah DBKK,” katanya.

“Hasrat utama DBKK dalam melaksanakan kempen Anti Kutu Sampah adalah selaras dengan usaha kami untuk menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandaraya bebas kutu sampah. DATUK YEO BOON HAI Mayor Bandaraya Kota Kinabalu

YEO (tiga kiri) menyampaikan sijil pengiktirafan Hotel Tanpa Sampah kepada pihak pengurusan Hotel Grandis dan Resort.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.